UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Daftar Segera.....

Daftar Segera.....

Holidays...Pelancongan Tersohor

Holidays...Pelancongan Tersohor

BADAL HAJI & UMRAH 2019

BADAL HAJI & UMRAH 2019

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul




وَقَالَتْ أُولاَهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
(surat Al-A'Raaf ayat 39)
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat). - Al-Mulk.2
Tegak Rumah Kerana Sendi,
Runtuh Sendi Rumah Binasa,
Sendi Bangsa Adalah Budi,
Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa.
Adat Bersaudara,
Saudara Dipertahankan,
Adat Berkampung, Kampung dipertahankan,
Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan,
Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan.

"Jangan sedih jika diri tidak dihargai, tetapi tangiskanlah apabila diri tidak berharga lagi"
"Lambaian Suci...Kembara Ilahi Siri-8, ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, Transit Muscat, Oman 12 - 24 Jan 2020. Ya Allah permudahkan segala urusan kami".

Sepanjang perjalanan hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika ia tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Firman Allah. Ertinya:
"Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana
Allah
" (Surah al-Baqarah 2:196)

Firman Allah. Ertinya:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan ketaqwaan yang benar dan janganlah kamu mati kecuali sudah lengkap Islam (melakukan dengan sepenuhnya rukun-rukun Islam" . (Surat Ali 'Imran 3:102)

Selasa, 13 Julai 2010

KEMBARA CINTA KEDUABELAS...MADINAH...CERIA
Khamis, 27 Mei 2010 bersamaan 13 Jamadilakhir 1431

03.30 pagi: Ke Masjid Nabawi...masuk solat subuh di Madinah hari ini 4:10 pagi.
05.00 pagi: Balik ke hotel....sarapan pagi dan bersiap untuk lawatan luar di Madinah
06.30 pagi: Semua jemaah berkumpul di lobi hotel untuk melakukan lawatan luar sekitar kota Madinah.

MASJID QUBA
Terletak lebih kurang 5 KM dari Masjid Nabawi. Masjid Quba adalah merupakan masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat sebaik sahaja tiba di Madinah. Kelebihan masjid ini adalah sesiapa yang menunaikan solat sunat dua raakat di dalamnya akan mendapat pahala seperti umrah. Sebagaimana sabda Baginda:
"Barangsiapa berwuduk di rumahnya kemudiaan mendatangi Masjid Quba dan bersolat di dalamnya maka baginya adalah pahala seperti pahala umrah".
Masjid Quba
Pemandangan dalam masjid Quba
Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa datang ke masjid ini pada setiap hari sabtu sekiranya baginda tiada urusan sama ada berjalan kaki ataupun menunggang kenderaan (unta).

MASJID QIBLATAIN
Dinamakan Masjid Dua Kiblat, kerana berlakunya peristiwa pertukaran kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah pada tahun ke 2 Hijrah. Peristiwa ini disebutkan dalam Surah al-Baqarah ayat 144. Firman Allah s.w.t. turun ketika Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat sedang menunaikan solat zohor berjemaah di dalam masjid ini. Dalam rakaat kedua turunlah wahyu Allah yang memerintahkan agar Baginda s.a.w. mengubah kiblat ke arah Baitullah di Makkah.

BUKIT UHUD

Terletak kira-kira 4.5 KM dari kota Madinah. Bukit Uhud adalah merupakan satu tempat di mana berlakunya peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah. Peperangan ini telah mengakibatkan 70 orang sahabat Nabi gugur syahid dari tentera kaum muslimin yang kesemuanya berjumlah 700 orang. Sebaik sahaja kami sampai di Bukit Uhud bacaan doa dipimpin oleh Ust. Haji Syariff seterusnya doa khas untuk Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib.

Bukit Uhud

Makam Saidina Hamzah, para sahabat yang lain yang gugur semasa Perang Uhud

Bukit Pemanah

LADANG KURMA

Di Ladang Kurma ini kita boleh makan buah kurma sebanyak mana mungkin, tidak perlu dibayar. Tetapi jika ingin dibawa pulang....perlulah dibeli dan dibayar. Kita juga dihidangkan dengan minuman teh herba arab yang dicampur dengan air purdina. Di sini terdapat pelbagai jenis kurma dan manisan yang diperbuat daripada adunan buah kurma. Kurma yang selalu dicari oleh jemaah umrah ialah kurma Nabi atau Najwah kerana kurma ini banyak khasiatnya.

Buah kurma yang masih muda

Makan kurma tu baik-baik dik nanti.....

PASAR KURMA
Dalam perjalanan pulang kami singgah di Pasar Kurma, shopping sakan buah kurma sebagai buah tangan untuk keluarga, suadara mara dan rakan taulan. Aku belanja hampir SR400.00, beli pelbagai jenis kurma, kekacang, manisan dan tidak ketinggalan kurma Najwah untuk keluarga. Harganya agak boleh tahan juga, Kurma Najwah gred yang baik SR70.00 satu kilo. Di sini aku sempat membeli satu botol minyak kibas dengan harga SR10.00 yang dijual oleh peniaga jalanan rakyat Indonesia, kegunaannya adalah untuk menghindari binatang buas merosakkan tanaman (kebun). Aku beli ni bukan apa...untuk adik aku...adik aku ni seorang petani, dia mengusahakan kebun pisang dan getah. Nampaknya dia berjaya dalam bidang yang dia ceburi, dulu dia bekerja di syarikat swasta. Entah apa dia berhenti...sekarang bekerja sendiri dan buka kedai 'welding' maju nampaknya.
12.00 tengah hari: Bertolak balik ke hotel...solat zohor di Masjid Nabawi.
01.30 petang: Makan tengah hari di hotel
02.00 petang: Rehat
03.30 petang: Ke Masjid Nabawi...solat Asar
05.00 petang: Balik hotel...untuk rehat
06.00 petang: Ke Masjid Nabawi semula untuk solat Maghrib dan Isyak
09.00 malam: Balik hotel...makan malam
10.00 malam: Rehat....dah penat siang tadi ziarah luar kota Madinah...selamat malam.

Khamis, 8 Julai 2010

KEMBARA CINTA KESEBELAS...MAKKAH...SYAHDU...MADINAH
Rabu, 26 Mei 2010 bersamaan 12 Jamadilakhir 1431
CUACA HARI INI:
Subuh: 33C / Asar: 40C
Hari ini....pagi ini paling syahdu buat aku, dalam masa beberap jam lagi aku dan Grup umrah GF16 akan meninggalkan kota suci Makkah yang penuh barakah dan akan berangkat melakukan ziarah ke kota suci Madinah, di sinilah jasad Nabi Muhammad S.A.W. kekasih Allah di semadikan.
03.30 pagi: Seperti biasa ke Masjidil Haram...tawaf sunat, solat subuh dan mencari tempat yang paling mustajab untuk berdoa untuk diri sendiri, ayah bonda, datuk nenek, adik beradik, kaum keluarga, sahabat Rayyan, rakan sepejabat dan teman-teman semuanya. Agar kita dikurniakan kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat. Kerana...itulah yang kita cari selama ini. Pencarian ini akan diteruskan selagi kita diberikan kesempatan oleh-Nya.
05.00 pagi: Balik hotel..sarapan pagi, menu nasi goreng, buah tembikai dan air milo '0'. Sidai baju yang dibasuh sebelum ke masjid pagi tadi.09.45 pagi: Ke Masjidil Haram lebih awal....tidak diketahui kenapa perasaan pagi ini agak syahdu dan hiba. Sabda Rasulullah S.A.W

'Pada Ka'abah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari, iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat Ka'abah'
10.00 pagi: Solat taubat, hajat, berdoa dan berzikir.
11.00 pagi: Tawaf wida...tawaf selamat tinggal. Selesai 7 pusingan tawaf, masuk pusingan kelapan saya dapati seorang pekerja warga emas bangsa arab membaiki lantai Dataran Ka'abah berhampiran Hijir Ismail yang retak, hati aku tersentuh apabila melihatnya. Aku hampirinya dan memberi salam sambil mengenggam erat tangan kanannya yang kasar itu sambil menghulurkan SR 20.00. Warga emas itu hanya tersenyum tidak berkata apa-apa, aku terus berlalu mencari tempat untuk solat zohor.
TAWAF WIDA
Selesai tawaf wida....aku menghampirkan diri betul-betul hampir dengan Multazam di sini aku berdoa dan merayu....
Di bawah sinar terik mentari
Ya Allah hamba-Mu berdiri tegah di bawah di pintu rumah-Mu
sesungguhnya Ka'abah ini dibawah perliharaan-Mu
merdekakanlah dari ku
bapa, ibu, saudara dan anak-anak dari seksa neraka
Ya Allah baikkanlah kesudahan segenap urusan ku
hindarkahlah kehampaan
hindarkanlah kehinaan
dunia dan seksa di akhirat
Ya Allah hamba-Mu sedang berdiri tegah di bawah pintu Ka'abah-Mu
menundukkan diri
mengharapkan rahmat-Mu
mengharapkan kasih sayang-Mu
aku takut seksa-Mu
aku mohon
Engkau tinggikan namaku
hapuskan doa ku
perbaiki segala urusan ku
bersihkan hati ku
beri nur cahaya dalam kubur ku
ampunkan dosa ku
tinggikan martabat ku di dalam syurga-Mu
Jangan Kau jadikan tawaf dan ziarah ku ini
tawaf dan ziarah penghabisan di Baitullah
Jika Kau takdirkan begini
Aku pohonkan syurga galang gantinya
dengan kemurahan Kau
Tuhan Yang Maha Pemurah
Tuhan Yang Maha Penyayang
Amin.
Tanpa aku sedari air mata ini membasahi pipi....aku amat mengharapan agar Kau akan memberikan kemurahan umur, kesihatan dan rezeki yang halal agar aku dapat berangkat ke sini lagi. Beribadah dan tawaf di rumah-Mu. Aku sentiasa menunggu Kad Undangan Istimewa dari-Mu untuk kembali ke sini lagi, menyahut seruan panggilan-Mu.
12.30: Solat zohor...tinggalkan Kaabah dan Masjidil Haram dengan linangan air mata...Insya Allah aku akan datangi.
01.00 petang: Balik hotel...makan tengah hari, menu terakhir di Makkah nasi putih, sup kambing, ayam masak merah, buah anggur hijau dan air oren.
02.50 petang: Bertolak ke Madinah...selamat tinggal Baitullah dan Makkah. Dalam perjalanan kami melayani perasaan masing-masing, aku duduk di set sebelah Abg. Azri bahagian belakang bas. Kami tidak banyak berbual hanya sekali-sekala imbauan ketika di Makkah, tasbih di tangan membilang berzikir kepada Yang Maha Esa. Ziarah kami ke Madinah di iringi oleh Ust Haji Syariff, dalam perjalanan Ust. banyak bercerita tentang kelebihan beribadah di Masjid Nabi dan sejarah Madinah itu sendiri. Sesekejap aku terlena juga...sebolehnya aku tidak mahu tertidur...kerana ingin melihat pemandangan sepanjang perjalanan ke Madinah, walaupun cuma padang dan gunung padang pasir sahaja. Bas kami dipandu oleh rakyat Indonesia yang berkerja di sini. Kami dimaklumkan perjalanan akan mengambil masa antara 6 ke 7 jam dengan menaiki bas.

Inilah bas yang membawa kami ke Madinah

Pemandangan sepanjang perjalanan ke Madinah, padang dan gunung pasir sahaja

05.30 petang: Setelah tiga jam perjalanan, kami singgah di Wadi (maaf lupa namanya) untuk makan malam. Menu nasi mandi, ayam pangggan, ikan goreng 2 ekor untuk lima orang makan. Memang sedap sunggup. Restoran ini diusahakan oleh rakyat Yamen, dan terkenal dikalangan jemaah umrah Malaysia khasnya dibawah pakej Andalusia. Makan malam kali ini termasuk dalam pakej umrah. Terima kasih daun keladi. Di sini aku sempat membeli 4 botol minyak atar dengan harga SR 10.00 yang dijual oleh raykat Yamen.

06.00 petang: Teruskan perjalanan......ramai jemaah yang dibuai mimpi.

09.00 malam: Sampai di Madinah...doa memasuki kota Madinah dipimpin oleh Ust. Haji Syariff:

"Ya tuhanku, sesungguhnya tanah haram ini adalah tempat nabi Engkau Muhammad s.a.w. dan Engkau telah menjadikan ia tanah haram menerusi kenyataan lisan nabi Engkau s.a.w. maka aku pohonkan dengan kemuliaannya, jadikanlah dia sebagai perisai bagi diriku dariapada api neraka dan keamanan daripada perhitungan yang tidak baik pada hari qiamat"

urusan 'chek in' mudah dan cepat, kami menginap di Hotel Durrat Al Fayroz hanya lebih kurang 100M daripada Masjid Nabawi.

Aku sebilik dengan Rosli, bilik '1320', tingkat 13...bilik cantik memuaskan.

bersihkan diri...tunaikan solat Isyak dan jamak solat Maghrib di bilik, kerana tidak berkesempatan ke masjid.

10.10 malam: Ke Masjid Nabawi bersama Rosli dan Lan Termeloh, masuk melalui pintu Babussalam dan mencari tempat berhampiran tiang di hadapan Raudah untuk tunaikan solat tahiyatul masjid. Selesai solat ziarah Makam Rasullulah, Saidina Abu Bakar dan Saidina 'Umar A-Khattab. Amat gembira dapat solat di Raudah, sesungguhnya Raudah adalah satu-satunya tempat mustajab untuk berdoa di Madinah ini.

"Tempat antara rumahku (bilikku) dan mimbarku adalah sebuah taman daripada taman-taman syurga."(Riwayat Tabrani, al-Bazzar dan Ibnu Syaibah, rijalnya thiqat)

11.10 malam: Balik hotel....untuk rehat, agak penat. Dalam perjalanan pulang singgah membeli beberapa pasang ketayap sebagai buah tangan untuk keluarga dan sahabat. Seperti biasa di luar pagar kawasan masjid ramai penjual jalanan menjual pelbagai jenis tasbih, ketayap, jubah dan barangan mainan dengan harga yang murah.

12.00 malam: Selamat malam...tidur dulu.

Rabu, 7 Julai 2010

KEMBARA CINTA KESEPULUH...MAKKAH
Selasa 25 Mei 2010 bersamaan 11 Jamadilakhir 1431

CUACA HARI INI:
Subuh: 33C / Zohor: 38C / Asar: 40C

03.30 pagi: Ke Masjidil Haram untuk solat subuh dan tawaf sunat
05.00 pagi: Balik hotel...sarapan pagi, hari ini tidak banyak aktiviti dilaksanakan kerana terlalu letih dan penat maklumlah malam tadi mendaki Jabar Nur.

Pemandangan bangunan berhampiran hotel penginapan
06.00 pagi: Rehat sampai jam 10.00 pagi.
11.30 pagi: Ke Masjidil Haram semula untuk solat zohor.
01.00 petang: Balik hotel untuk makan tengah hari.
02.00 petang: Rehat di bilik.
03.00 petang: Masjidil Haram...solat Asar, siap dengan pakaian ihram.05.00 petang: Menaiki bas ke Tanaim untuk miqat niat umrah badal arwah nenek Mahaya (nenek saudara).
06.00 petang: Menyempurnakan rukun umrah....tawaf di Baitullah sebanyak 7 pusingan.
06.45 petang: Selesai tawaf...solat Maghrib.
07.30 malam: Sei...selesai 8.20 malam dan solat Isyak, kaki dan tumit bertambah banyak yang pecah...sakit dan pedih.
09.00 malam: Balik hotel..makan malam.
10.00 malam: Rehat..dibuai mimpi.

Selasa, 6 Julai 2010

PENDAKIAN JABAR NUR, GUA HIRA'
Isnin, 24 Mei 2010 bersamaan 10 Jamadilakhir 1431
10.30 malam: Aku, teman-teman Group Umrah GF16 dan sebahagian jemaah SV 18 Mei 2010 bertolak ke Jabar Nur dengan menaiki bas untuk memulakan pendakian ke Gua Hira'. Malam ini, kami akan naik ke Jabal Nur, Gua Hira, tempat di mana junjungan Nabi S.W.A selalu berkhalwat (bersendirian) sehinggalah Baginda Nabi S.A.W mendapat wahyu pertama di sini. Bayaran tambahan yang dikenakan SR 15.00 seorang.
Kambing gurun banyak terdapat di puncak Jabar Nur
Pemandangan di luar Gura Hira'
Untuk sampai di Gua Hira mengambil masa lebih kurang 45 - 1 jam, bergantung kepada keupayaan masing-masing. Sampai di Gua Hira' kami solat sunat taubat bergilir-gilir, tazkirah dan doa dipimpin oleh mutawwif kami.
Di puncak Jabar Nur, Gua Hira'

Pintu masuk ke Gua Hira'

Pintu lapisan pertama ke Gua Hira'Dalam Gua Hira' di sini Nabi menerima wahyu pertama
Pemandangan Masjidil Haram dari Gua Hira' Pemandangan kawasan perumahan daripada Gua Hira'

Di atas puncak Jabal Nur ini, ada gerai menjual tasbih, peralatan ibadah, air dan teh panas juga ada dijual di sini, tetapi semasa kami sampai gerai ini sudah ditutup. Jalan dan tangga untuk naik ke Gua Hira' dibina oleh individu hasil waqaf yang ramai.

12.30 malam: Kami turun diterangi oleh cahaya bulan 10 Jamadilakhir 1431H.

Bulan mengembang di Gua Hira'

02.00 pagi: Sampai hotel...rehat...tidur...penat

KEMBARA CINTA SEMBILAN...MAKKAH
Isnin, 24 Mei 2010 bersamaan 10 Jamadilakhir 1431

03.30 pagi: Cuaca pagi ini agak panas 33C, seperti biasa ke Masjidil Haram untuk solat subuh.

05.00 pagi: Balik hotel...sarapan pagi, menu pagi ni Nasik Lemak, sambal ikan bilis, air milo '0'.

06.00 pagi: Ke Tanaim (Masjid Saidatina Aishah) untuk miqat niat umrah badal untuk arwah Pak Teh (Ateh Ramli), aku ambil van berhampiran Masjid Kucing. Umrah kali ini juga bersendirian, teman yang lain agak keletihan.
Masjid Saidatina Aishah di Tanaim

08.00 pagi: Kembali semula ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan rukun umrah iaitu tawaf dan sei. Seperti biasa sebolehnya aku akan cuba mencari ruang untuk solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim, berdoa di Multazam dan solat sunat hajat di Hijir Ismail. Alhamdulillah impian aku hari ini ditunaikan-Nya. Yang paling gembira aku diberi peluang sekali lagi untuk mencium Hajar Aswad (Batu yang bergayut dari syurga dan dengan menciumnya akan mendapat kemapunan daripada ALLAH).

09.00 pagi: Teruskan rukun umrah...sei.

10.45 pagi: Sei dan bergunting selesai dilaksanakan. Alhamdulillah semoga umrah aku kali ini diterima-Nya. Agar Pak Teh mendapat keampunan-Nya. Amin. Rehat di Bukit Marwah untuk melepaskan penat...aku telefon Mak Teh (Ateh) di Taman Medan, Petaling Jaya...beritahu yang aku telah selesai laksanakan umrah badal untuk arwah Pak Teh dan beritahu juga aku sihat dan gembira berada di sini.

Jalan-jalan sekitar Masjid Kuching...semasa mengerjakan haji dulu bersama ayah dan bonda pada tahun 2006 di sinilah aku menginap disalah sebuah hotel berhampiran masjid ini. Tetapi semuanya sudah berubah, semua bangunan dan rumah kedai di sini dirobohkan, dalam usaha kerajaan Arab Saudi membesar Masjidli Haram. Teringat nostagia lama bersama ayah dan bonda kami sama-sama berpimpinan tangan berjalan menuju ke Masjidil Haram untuk menuaikan solat. Di sini aku membeli sedikit buat tangan untuk sahabat nasyid Rayyan. Singgah di sebuah restoran Paksitan, di sini juga aku pernah membawa ayah dan bonda makan nasi brayani arab dengan ayam panggang. Nasi yang sama juga aku pesan dengan ayam panggang dengan harga SR 13.00, air meniral botol kecil SR 1.00.

Pembangunan rancak di sekitar Masjid Kuching
11.30 pagi: Kembali Masjidil Haram untuk solat zohor
01.00 petang: Balik hotel...makam tengah hari.
03.30 petang: Ke Masjidil Haram semula untuk solat Asar, siap berpakaian ihram untuk laksanakan urmah badal arwah nenek Kira (nenek sebelah ayah). Selepas Asar naik van di kawasan Masjid Kuching untuk ke Tanaim berniat umrah.
06.00 petang: Kembali ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan rukun umrah tawaf dan sei. Masuk pusingan ke 6 tawaf, berhenti untuk melaksanakan solat Maghrib. Sempurna tawaf selepas solat Maghrib.
08.20 malam: Selesai sei, bergunting dan solat Isyak .
9.00 malam: Balik hotel...makan malam.
10.30 malam: Program pilihan...mendaki Gua Hira dengan bayaran tambahan SR 15. Aku dan teman-teman yang lain memgambil peluang ini.

Isnin, 5 Julai 2010

KEMBARA CINTA LAPAN...MAKKAH...MAGHFIRAH-MU
Ahad, 23 Mei 2010 bersamaan 9 Jamadilakhir 1431

CUACA HARI INI:
Subuh: 34C / Zohor: 38C / Asar: 40C / Maghrib: 38C / Isyak: 33C

03.15 pagi: Bangun tidur...bersiap untuk Masjidil Haram.
03.30 pagi: Ke Masjidil Haram...solat sunat tahajud, hajat, taubat...bermunajat...berzikir sementara menanti masuknya waktu solat subuh....sungguh syahdu rasanya. Jemaah sentiasa ramai melaksanakan tawaf umrah atau tawaf sunat tidak kira waktu siang mahupun malam ituilah kemuliaan Baitullah. Selepas solat subuh aku rehat dan baring dalam masjid untuk melepaskan letih, penat dan mengantuk yang amat sangat...hingga terlelap.
06.00 pagi: Balik hotel...sarapan pagi. Menu hari ini Mee Kari, air Milo '0'.
09.00 pagi: Rehat...basuh pakaian, nak hantar dobi mahal jugak harganya.
10.00 pagi: Bangun tidur...bersiap untuk ke Masjid
11.00 pagi: Minum air Milo '0"' panas di tingkat M dengan sekeping roti, sebelum ke Masjidil Haram untuk solat zohor. Alhamdulillah dapat saf nombor 4 di belakang imam berdepan dengan Pancuan Emas, masuk waktu zohor hari tepat jam 12:17 tengah hari. Seperti biasa selepas solat zohor...solat sunat jenazah.
01.00 petang: Makan tengah di hotel.
02.00 petang: Rehat..baring cuaca panas hari ini.
03.30 petang: Ke Masjidil Haram semula untuk solat Asar, (waktu Asar 4:17 petang) aku sudah siap berpakaian ihram. Kerana selepas solat Asar nanti aku akan ke Tanaim untuk miqat umrah badal arwah Atok Litap (Tok sebelah ayah). Tok meninggal dunia pada hari Raya Haji ke 3, 2009 yang lepas di Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah tepat jam 3.00 pagi dalam usia 85 tahun kerana tekanan darah tinggi yang amat sangat hingga saluran darah di kepala pecah. Semasa hayatnya Tok tidak berkesempatan untuk ke Tanah Suci...bukan kerana masalah perbelanjaan tetapi masalah kesihatannya yang tidak mengizinkan. Sebelum berangkat ke sini tempoh hari aku telah memohon izin daripada ayah untuk tunaikan umrah badal untuk arwah Tok. Arwah Tok telah banyak berbakti kepada ku...tidak dapat aku untuk membalasnya. Semoga Allah menempatkannya bersama orang-orang yang soleh. Amin.
05.00 petang: Ke Tanaim untuk miqat umrah menaiki bas dengan tambang SR 2.00 perjalanan sehala. Umrah kali ini bersendirian, rakan yang lain kepenatan dan keletihan, maklumlah masing-masing sibuk beribadah rehat dan tidur tidak menentu.
05.30 petang: Selepas niat umrah kembali semula ke Masjidil Haram.
06.00 petang: Tawaf urmah...selesai tawaf, solat sunat tawaf, doa di multazam dan solat Maghrib.
07.45 malam: Minum air zam-zam dan teruskan sei antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak 7 kali pusingan.
08.25 malam: Selesai sei, bergunting untuk tahallul. Solat Isyak.
09.00 malam: Balik hotel...makan malam.
10.00 malam: Rehat...selamat malam....dibuai mimpi.

Ahad, 4 Julai 2010

KEMBARA CINTA TUJUH...MAKKAH...HUDAIBIYAH
Sabtu, 22 Mei 2010 bersamaan 8 Jamadilakhir 1431

03.30 pagi: Seperti biasa aku akan ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat subuh, pergi awal untuk mendapatkan tempat di Dataran Kaabah. Cuaca pagi ini agak panas 33C.

05.30 pagi: Balik ke hotel untuk sarapan pagi...hari ni badan letih sedikit.

09.00 pagi: Rehat/tidur

11.00 pagi: Ke Masjidil Haram...solat zohor, masuk waktu zohor jam 12.17 tengah hari. Dapat saf nombor 5 belakang imam.

01.30 petang: Balik hotel...makan tengah hari dan bersiap untuk lawatan pilihan ke Hudaibiyah dengan bayaran SR 30.00 seorang.
02.30 petang: Bertolak ke Hudaibiyah. Dalam perjalanan singgah di ladang menternak unta..huuu cuaca panas sungguh.

Lebuh raya ke Hudaibiyah Unta ternakan yang setia pada tuannya Khemah pekerja ladang unta
Solat Asar di Masjid Hudaibiyah dan niat umrah badal untuk arwah Moyang Bedah.
Masjid Hudaibiyah yang baru Masjid Hudaibiyah yang asal hanya tinggal kesan binaan sahaja
Dalam perjalanan kembali ke Makkah singgah di Muzium dua Tanah Haram (Masjid Nabawi dan Masjidil Haram), masa lawatan cuma 30 minit sahaja yang dibenarkan oleh pihak pengurusan muzium kerana jemaah terlalu ramai.
Rupa bentuk telaga zam-zam sebelum ini

Keratan rentas gambaran Telaga Zam_zam

Bingkai Hajar Aswad

05.30 petang: Kembali ke Masjidil Haram

06.00 petang: Tawaf umrah hingga jam 6.45 petang baru selesai...jemaah agak ramai tetapi laluan mudah dan senang.

06.57 petang: Solat Maghrib...di belakang Makam Ibrahim, saf nombor 7...belakang imam. Alhamdulillah. Selepas solat sunat maghrib sambung sei berseorangan kerana kami telah berpecah ketika tawaf tadi. Sei dapat dihabiskan jam 8.10 malam...bergunting keluar daripada ihram. Rehat di Bukit Marwah menunggu rakan yang lain selesai sei.

08.20 malam: Kumpulan yang dipandu oleh sdr. Fahmi selesai menamatkan 7 pusingan sei, bergunting.

08.25 malam: Azan Isyak berkumandang...solat Isyak

9.30 malam: Balik hotel...makan malam

11.00 malam: Rehat

Khamis, 1 Julai 2010

KEMBARA CINTA ENAM...MAKKAH
Jumaat, 21 Mei 2010 bersamaan 7 Jamadilakhir 1431

03.30 pagi: Seperti biasa ke Masjidil Haram untuk tawaf sunat dan solat subuh.

0.600 pagi: Selepas solat subuh....balik hotel, sarapan pagi..menu mee hoon goreng, roti dan air milo '0'

07.00 pagi: Rehat (tidur) hingga jam 10.00 pagi...sudah hari keenam kembara mencari kebahagiaan hakiki...penat dan letih sudah mula dirasai. Dalam tidur aku bermimpi Makkah dilimpahi rahmat dengan hujan lebat, dan aku lihat banyak air bertakung di tepi-tepi jalan hadapan hotel penginapan. Tersedar dari tidur aku terus menuju ke tingkap bilik, didapati cuaca pagi ini agak panas terik lebih kurang 35C. Mimpi yang sama juga dialami oleh sdr. Ma'arof sahabat umrah GF16 Mei 2010.

11.30 pagi: Pagi ni...ke masjidil Haram awal sedikit, kerana hari jumaat masyarakat tempatan akan keluar menunaikan solat jumaat. Sampai di masjid ruang dataran Kaabah sudah dipenuhi oleh jemaah. Aku naik ke tingkat satu untuk mencari tempat, alhamdulillah masih ada ruang lagi. Jemaah hari ini terlalu ramai...macam musim haji gamaknya. Aku dapati masyarakat arab tempatan memakai pakaian kebangsaan mereka iaitu jubah berwarna putih dengan kain serban di kepala, memang nampak segak dan bergaya. Tetap jam 12.17 tengah hari (waktu Makkah) azan pertama berkumandang memecah kesyahduan, dalam masa 10 minit azan kedua dilaungkan oleh Bilal yang bertugas. Aku tidak beberapa faham khutbah yang disampaikan oleh katib yang dibaca dalam bahasa Arab. Maklumlah aku ini tidak fasih dalam bahasa itu kecuali satu dua istilah sahaja yang aku faham.

01.30 petang: Selesai solat..balik hotel, untuk makan tengah hari...menunya ayam masak kari, ikan merah asam pedas, sayurnya seperti biasa timum arab, air oren...memang sedap, tambah dua kali dibuatnya.

02.30 petang: Rehat di bilik...lepaskan letih.

03.30 petang: .......Solat Asar, selepas solat baring sekejap dalam masjid untuk lepaskan penat dan mengantuk teramat sangat.

05.00 petang: Balik ke hotel untuk majlis bacaan Yasin dan tahalil arwah. Majlis ini diadakan di tingkat M, dewan makan hotel yang dipimpin oleh para mutawwif umrah. Aku menjadi sebak dan mengalir air mata apabila mutawwif membaca doa arwah...tiba-tiba aku teringatkan arwah Tok dan Moyang yang telah banyak berkorban untuk aku semasa hayatnya. Semoga Allah memberikan rahmat ke atas rohnya. Amin. Jamuan ringan diadakan selepas majlis tahlil...bubur pisang.

06.30 petang: Ke Masjidil Haram semula untuk solat Maghrib. Solat Maghrib kali ini agak syahdu dengan bacaan imam kerap kali terhenti kerana sebak, ini membuatkan jemaah dan aku mengalirkan air mata. Aku duduk tidak beberapa jauh daripada tempat imam di dataran Kaabah berhampiran Makam Ibrahim. Tempat imam sentiasa bertukar mengikut waktu solat...kerana itu aku selalu mengintai-intai untuk mendapatkan tempat seboleh-bolehnya saf satu atau dua di belakang imam. Seperti biasa selepas solat aku akan mencari tempat yang sesuai untuk rehat, berzikir, solat sunat dan berdoa. Kali ini aku memilih tingkat bawah, berdepan dengan Pancuran Emas sementara menunggu solat Isyak. Di sini banyak ceramah/kuliah agama yang disampaikan dalam bahasa Arab, Urdu dan Indonesia selepas solat Maghrib.

09.00 malam: Selepas solat Isyak, balik hotel untuk makan malam

11.00 malam: Ust Syariff membawa aku, Haji Zack, Kak Zai, Along dan Adik makan Nasi Mandi (nasi briyani arab) di Pekan Bukit Thur. Nasi Mandi Kambing dan ayam...satu dulang besar untuk 6 orang makan....memang sedap gila. Terima Kasih Ust dan Haji Zack kerana belanja kami, budi baik kalian akan kami ingat hingga akhir hayat.

Nasi mandi kambing dan ayam panggang...sedap

12.00 tengah malam: Perut dah.......balik hotel, rehat apa lagi tidurlah.

Ahad, 27 Jun 2010

KEMBARA CINTA LIMA...UMRAH TANA'IM
Khamis, 20 Mei 2010 bersamaan 6 Jamalilakhir 1431


03.30 pagi: Ke masjidil Haram solat subuh, sementara tunggu masuknya waktu subuh laksanakan tawaf sunat.

05.30 pagi: Balik hotel...sarapan pagi nasi lemak, milo '0'.


06.00 pagi: Bersiap untuk umrah.

06.30 pagi: Berkumpul di lobi hotel...bertolak ke Tana'im dengan bas untuk miqat umrah. Dalam perjalanan kami melewati kawasan Tanah Perkuburan Ma'la dan Masjid al-Jin. Tanah Perkuburan Ma'la merupakan tanah perkuburan awam semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah sekarang ini. Di sini ramai para sahabat dan ahli keluarga Baginda disemadikan termasuklah isteri Baginda s.a.w. Khadijah binti Khuwailid. Manakala Masjid al-Jin terletak tidak jauh dari perkuburan Ma'la, di sinilah Baginda s.a.w. menerima wahyu iaitu ayat-ayat di dalam surah al-Jin. Jarak antara Makkah dan Tana'im lebih kurang 7 km sahaja. Untuk sampai ke Tana'im kita boleh menaiki teksi (SR 5.00 seorang pergi-balik), bas (SR 4.00 seorang pergi-balik) dan van (SR 5.00 seorang pergi-balik).

Kawasan Tanah Perkuburan Ma'la, Makkah

Gambar kenangan bersama ketua rombongan Haji Zack, di Masjid Tana'im

08.00 pagi: Kembali semula ke Makkah untuk melaksanakan tawaf dan sei umrah. Dalam perjalanan kami bertalbiah sehingga sampai ke Masjidil Haram.


Aku sahut panggilan-Mu ya Allah!
Aku sahut, tidak ada sekutu bagi-Mu yang Allah
Kami sahut! Segala pujian, nikmat dan kerajaan
adalah kepunyaan-Mu ya Allah! Tiada sekutu bagi-Mu.

Umrah kali ini dipandu oleh Ust. Haji Syariff selaku mutawwif. Seperti biasa selepas tawaf aku akan mencari ruang dan peluang untuk solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan berdoa di Multazam. Tidak tahu bagaimana, aku terpisah dengan kumpulan semasa menuju ke Makam Ibrahim. Ini tidak menjadi masalah bagi aku, kerana sudah ada sedikit pengalaman semasa menunaikan haji dahulu, aku berdoa agar dipertemukan semula dengan kumpulan yang dipimpin oleh Ust. Haji Syariff, beribadah berkumpulan itu kan lebih seronok!. Hari ini Allah telah memberikan ruang kepada aku untuk solat taubat di Hijir Ismail, walaupun jemaah terlalu ramai, Alhamdulillah.

Selepas solat di Hijir Ismail dan berdoa terus keluar dari kawasan Hijir Ismail menuju ke Bukit Safa untuk melaksanakan sei, dan singgah sebentar di tempat air zam-zam untuk minum menghilang dahaga...apa lagi habis 4 gelas air zam-zam...haaa digin. Sei aku laksanakan agak perlahan sedikit kerana tumit kaki sudah banyak yang pecah...sakit, pedih. Doa dibaca berpandukan buku panduan yang dibeli khas di Malaysia lagi. Dalam masa 45 minit sei selesai dihabiskan iaitu sebanyak 7 kali pusingan antara Safa dan Marwah. Aku meminta tolong seorang Pak Cik untuk mengunting rambut keluar daripada pantang larang ihram (tahallul).

Tulis catatan/rehat di Bukit Marwah sementara menunggu jemaah yang lain sampai (ahli kumpulan)

10 minit kemudian baru jemaah yang dipimpin oleh Ust. Haji Syariff selesai melakanakan sei dan sampai di Bukit Marwah, dengan wajah sedikit keletihan tetapi mereka tetap ceria dan masih bersemangat.

Doa dibaca..mohon keampunan Ilahi

Selepas selesai umrah kami tidak balik ke hotel, tetapi berrehat sementara di Bukit Marwah lebih kurang satu jam untuk melepaskan penat. Jam di tangan menunjukan 10.30 pagi (waktu Makkah). Perut dah rasa...., Haji Zack mengajak kami mencari makanan di luar kawasan Masjidil Haram, apa lagi kami menuju ke hotel Hilton kerana di kawasan ini banyak kedai/gerai menjual makanan. Haa....Haji Zack kena belanja kami nasi briyani ayam arab, harganya SR 8.00 satu bungkus boleh makan dua orang. Tetapi terlalu lapar kami beli satu bungkus seorang. Manakala Lan belanja air buah mangga SR 4.00 satu gelas. Kedai atau gerai di ini tidak menyediakan kerusi/meja untuk pelanggannya. Oleh demikan kami terpaksalah mencari tempat duduk yang sesuai untuk menikmati hidangan yang dibeli. Kami memilih bahagian luar Pasaraya Bin Dawood, Hotel Hiiton Makkah. Bahagian luar Pasaraya ini menyediakan tempat duduk/santai untuk para jemaah, apa lagi .....memang sedap habis tinggal bekas aje.

Shopping Mall, kawasan berhampiran Hotel Hilton

11.30 pagi: Kami kembali semula ke Masjidil Haram...ambil wuduk di kawasan wuduk bawah tanah berhampiran Hotel Hilton. Selepas menuaikan solat sunat dua raakat, baring melepaskan penat yang keterlaluan, sakit tumit kaki dan betis sudah mulai dirasai. Aku duduk menunggu waktu zohor berhampiran pintu 1 (King Aziz) dalam kawasan Masjidil Haram. Selepas solat zohor balik hotel untuk makan tengah hari, rehat dan mandi.

03.40 petang: Ke Masjidil Haram semula untuk solat Asar, selepas solat kembali ke hotel semula untuk minum petang dan rehat.

06.30 petang: Masjidil Haram....solat Maghrib dan Isyak. Selepas solat sunat Maghrib tunaikan solat sunat jenazah dan tawaf sunat. Sudah menjadi kebiasaan di sini setiap waktu ada sahaja solat sunat jenazah, kita digalakkan untuk mengerjakannya. Kali ini aku menunaikan solat Isyak berhampiran Rukun Yamani.

09.30 malam: Balik hotel...makan malam...rehat.