UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Daftar Segera.....

Daftar Segera.....

Holidays...Pelancongan Tersohor

Holidays...Pelancongan Tersohor

BADAL HAJI & UMRAH 2019

BADAL HAJI & UMRAH 2019

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul




وَقَالَتْ أُولاَهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
(surat Al-A'Raaf ayat 39)
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat). - Al-Mulk.2
Tegak Rumah Kerana Sendi,
Runtuh Sendi Rumah Binasa,
Sendi Bangsa Adalah Budi,
Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa.
Adat Bersaudara,
Saudara Dipertahankan,
Adat Berkampung, Kampung dipertahankan,
Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan,
Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan.

"Jangan sedih jika diri tidak dihargai, tetapi tangiskanlah apabila diri tidak berharga lagi"
"Lambaian Suci...Kembara Ilahi Siri-8, ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, Transit Muscat, Oman 12 - 24 Jan 2020. Ya Allah permudahkan segala urusan kami".

Sepanjang perjalanan hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika ia tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Firman Allah. Ertinya:
"Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana
Allah
" (Surah al-Baqarah 2:196)

Firman Allah. Ertinya:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan ketaqwaan yang benar dan janganlah kamu mati kecuali sudah lengkap Islam (melakukan dengan sepenuhnya rukun-rukun Islam" . (Surat Ali 'Imran 3:102)

Ahad, 27 Jun 2010

KEMBARA CINTA LIMA...UMRAH TANA'IM
Khamis, 20 Mei 2010 bersamaan 6 Jamalilakhir 1431


03.30 pagi: Ke masjidil Haram solat subuh, sementara tunggu masuknya waktu subuh laksanakan tawaf sunat.

05.30 pagi: Balik hotel...sarapan pagi nasi lemak, milo '0'.


06.00 pagi: Bersiap untuk umrah.

06.30 pagi: Berkumpul di lobi hotel...bertolak ke Tana'im dengan bas untuk miqat umrah. Dalam perjalanan kami melewati kawasan Tanah Perkuburan Ma'la dan Masjid al-Jin. Tanah Perkuburan Ma'la merupakan tanah perkuburan awam semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah sekarang ini. Di sini ramai para sahabat dan ahli keluarga Baginda disemadikan termasuklah isteri Baginda s.a.w. Khadijah binti Khuwailid. Manakala Masjid al-Jin terletak tidak jauh dari perkuburan Ma'la, di sinilah Baginda s.a.w. menerima wahyu iaitu ayat-ayat di dalam surah al-Jin. Jarak antara Makkah dan Tana'im lebih kurang 7 km sahaja. Untuk sampai ke Tana'im kita boleh menaiki teksi (SR 5.00 seorang pergi-balik), bas (SR 4.00 seorang pergi-balik) dan van (SR 5.00 seorang pergi-balik).

Kawasan Tanah Perkuburan Ma'la, Makkah

Gambar kenangan bersama ketua rombongan Haji Zack, di Masjid Tana'im

08.00 pagi: Kembali semula ke Makkah untuk melaksanakan tawaf dan sei umrah. Dalam perjalanan kami bertalbiah sehingga sampai ke Masjidil Haram.


Aku sahut panggilan-Mu ya Allah!
Aku sahut, tidak ada sekutu bagi-Mu yang Allah
Kami sahut! Segala pujian, nikmat dan kerajaan
adalah kepunyaan-Mu ya Allah! Tiada sekutu bagi-Mu.

Umrah kali ini dipandu oleh Ust. Haji Syariff selaku mutawwif. Seperti biasa selepas tawaf aku akan mencari ruang dan peluang untuk solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan berdoa di Multazam. Tidak tahu bagaimana, aku terpisah dengan kumpulan semasa menuju ke Makam Ibrahim. Ini tidak menjadi masalah bagi aku, kerana sudah ada sedikit pengalaman semasa menunaikan haji dahulu, aku berdoa agar dipertemukan semula dengan kumpulan yang dipimpin oleh Ust. Haji Syariff, beribadah berkumpulan itu kan lebih seronok!. Hari ini Allah telah memberikan ruang kepada aku untuk solat taubat di Hijir Ismail, walaupun jemaah terlalu ramai, Alhamdulillah.

Selepas solat di Hijir Ismail dan berdoa terus keluar dari kawasan Hijir Ismail menuju ke Bukit Safa untuk melaksanakan sei, dan singgah sebentar di tempat air zam-zam untuk minum menghilang dahaga...apa lagi habis 4 gelas air zam-zam...haaa digin. Sei aku laksanakan agak perlahan sedikit kerana tumit kaki sudah banyak yang pecah...sakit, pedih. Doa dibaca berpandukan buku panduan yang dibeli khas di Malaysia lagi. Dalam masa 45 minit sei selesai dihabiskan iaitu sebanyak 7 kali pusingan antara Safa dan Marwah. Aku meminta tolong seorang Pak Cik untuk mengunting rambut keluar daripada pantang larang ihram (tahallul).

Tulis catatan/rehat di Bukit Marwah sementara menunggu jemaah yang lain sampai (ahli kumpulan)

10 minit kemudian baru jemaah yang dipimpin oleh Ust. Haji Syariff selesai melakanakan sei dan sampai di Bukit Marwah, dengan wajah sedikit keletihan tetapi mereka tetap ceria dan masih bersemangat.

Doa dibaca..mohon keampunan Ilahi

Selepas selesai umrah kami tidak balik ke hotel, tetapi berrehat sementara di Bukit Marwah lebih kurang satu jam untuk melepaskan penat. Jam di tangan menunjukan 10.30 pagi (waktu Makkah). Perut dah rasa...., Haji Zack mengajak kami mencari makanan di luar kawasan Masjidil Haram, apa lagi kami menuju ke hotel Hilton kerana di kawasan ini banyak kedai/gerai menjual makanan. Haa....Haji Zack kena belanja kami nasi briyani ayam arab, harganya SR 8.00 satu bungkus boleh makan dua orang. Tetapi terlalu lapar kami beli satu bungkus seorang. Manakala Lan belanja air buah mangga SR 4.00 satu gelas. Kedai atau gerai di ini tidak menyediakan kerusi/meja untuk pelanggannya. Oleh demikan kami terpaksalah mencari tempat duduk yang sesuai untuk menikmati hidangan yang dibeli. Kami memilih bahagian luar Pasaraya Bin Dawood, Hotel Hiiton Makkah. Bahagian luar Pasaraya ini menyediakan tempat duduk/santai untuk para jemaah, apa lagi .....memang sedap habis tinggal bekas aje.

Shopping Mall, kawasan berhampiran Hotel Hilton

11.30 pagi: Kami kembali semula ke Masjidil Haram...ambil wuduk di kawasan wuduk bawah tanah berhampiran Hotel Hilton. Selepas menuaikan solat sunat dua raakat, baring melepaskan penat yang keterlaluan, sakit tumit kaki dan betis sudah mulai dirasai. Aku duduk menunggu waktu zohor berhampiran pintu 1 (King Aziz) dalam kawasan Masjidil Haram. Selepas solat zohor balik hotel untuk makan tengah hari, rehat dan mandi.

03.40 petang: Ke Masjidil Haram semula untuk solat Asar, selepas solat kembali ke hotel semula untuk minum petang dan rehat.

06.30 petang: Masjidil Haram....solat Maghrib dan Isyak. Selepas solat sunat Maghrib tunaikan solat sunat jenazah dan tawaf sunat. Sudah menjadi kebiasaan di sini setiap waktu ada sahaja solat sunat jenazah, kita digalakkan untuk mengerjakannya. Kali ini aku menunaikan solat Isyak berhampiran Rukun Yamani.

09.30 malam: Balik hotel...makan malam...rehat.

Khamis, 17 Jun 2010

UMRAH JA'ARANAH
Rabu, 19 Mei 2010 bersamaan 5 Jamalilakhir 1431

09.30 pagi: Selesai melakukan ziarah luar sekitar Makkah, kami di bawa ke Ja'aranah untuk berniat Umrah. Aku melakukan umrah Badal untuk nenek yang uzur, yang tidak mempunyai kuasa untuk sampai di sini dan melakukannya sendiri. Nenek pernah mengerjakan haji pada tahun 1980an (tak ingin tahun bila) dan melaksanakan umrah sebanyak dua kali selepas itu. Sebelum berangkat tempoh hari, nenek ada berpesan, "kalau punyai masa dan keupayaan buatkanlah umrah untuk nenek, jaga diri baik-baik itu Tanah Haram", aku cuma senyum dan kata Insyallah. Aku dan nenek mempunyai hubungan yang amat rapat seperti ibu dengan anak, ini mungkin disebabkan aku dijaga oleh nenek sejak berumur 15 tahun, selepas datuk meninggal dunia.
10.30 pagi: Kami sampai di hotel penginapan di Makkah, para jemaah naik ke bilik masing-masing menghantar beg dan barangan cenderamata yang dibeli semasa proram ziarah.

11.00 pagi: Berkumpul di lobi hotel untuk ke Masjidil Haram, tawaf dan sei umrah. Umrah kali ini dipimpin oleh Ust. Syariff. Beliau berasal dari Sumatera Utara, Medan, Indonesia, sudah empat tahun tinggal di Makkah dan mempunyai pengalaman yang luas dalam urusan pengendalian Umrah dan Haji. Seperti biasa selesai tawaf, doa di Multazam, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan minum air Zam-Zam kami teruskan dengan sei dimulai di Bukit Safa. Pusingan ke-6, kami berhenti untuk menunaikan solat fardu zohor dan solat sunat jenazah. Sambung semula sei untuk pusingan ke-7 dan bergunting. Selesai umrah jam 1.30 petang. Balik hotel bersama Lan Termeloh, badan rasa penat, letih makan tengah hari di hotel (habis dua pinggan) lauk ayam masak kari, sambal undang, buah oren dan air oren....sedap.

02.28 petang: Rehatkan badan..baring dalam bilik hotel. Kaki dan tumit dah mula pecah-pecah sakit, pedih. Sapu dengan krim yang diberikan oleh Rosli...Terima kasih. Budi baik tetap dikenang hingga ke akhir hayat.

03.15 petang: Pergi solat Asar agak lewat sedikit hari ini,...kaki dan tumit pecah, sakit sukar untuk berjalan. Mungkin ini ujian Allah kepada ku. Tetapi aku kuat semangat dan iman untuk terus berjalan walau pun seperti orang kurang upaya. Ya Allah berikan aku kekuatan untuk terus beribadah kepada-Mu. Walau pun aku pergi agak lambat ke Masjidil Haram, tetapi Allah memberikan aku tempat di ruang dalam masjid.

04.30 petang: Balik ke hotel semula untuk mimun petang dan rehat.

06.30 petang: Bersiap ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib. Tunggu hingga solat Isyak, sambil duduk berwirid dan berzikir...tiba-tiba seorang Pak Arab memberikan sebekas kurma, rasanya enak sekali dan tidak berapa manis...minum air zam-zam....huuu kenyang perut.

09.30 malam: Selepas solat Isyak, balik hotel untuk makan malam

10.30 malam: Rehat di bilik penginapan.

KEMBARA...CINTA EMPAT...MAKKAH...ZIARAH LUAR
Rabu, 19 Mei 2010
06.30 pagi: Semua jemaah berkumpul di lobi hotel untuk program ziarah luar sekitar Makkah. Jemaah yang ingin melaksanakan umrah, diingatkan supaya membawa kain ihram bersama (jemaah lelaki). Kerana selepas ziarah nanti jemaah akan di bawa ke Ja'aranah bermiqat (niat mengerjakan umrah) umrah kali ke dua.
BUKIT THUR

07.10 pagi: Sampai di kaki Bukit Thur, terletak 27 km dari Masjidil Haram. Dipuncak bukit ini terdapat sebuah gua. Di situlah tempah persembunyian Baginda Nabi s.a.w. bersama sahabatnya tercinta Saidina Abu Bakar al-Shiddiq ketika dikejar oleh kaum Kafir Quraisy dalam perjalanan Hijrah dari Makkah ke Madinah. Di gua inilah Rasulullah s.a.w. bersama Abu Bakar bersembunyi untuk beberapa hari. Sepanjang bersembunyi di sini Asmah binti Abu Bakar diberikan tanggungjawab menghantar makanan setiap hari. Cuba kita bayangkan betapa sukarnya Asmah untuk mendaki dan menyusuri jalan untuk naik ke atas. Inilah yang dikatakan sebuah perjuangan.

Peristiwa ini telah dirakaman dalam al-Quran yang bermaksud:
"Jika kamu tiada mahu menolong Nabi s.a.w. sesungguhnya Allah telahpun menolongnya ketika orang-orang Kafir mengusirnya (menghalaunya), sebagai kedua dari dua orang tersebut (yang sorang lagi adalah Abu Bakar) ketika keduanya di dalam gua (bukit Thur), ketika ia berkata kepada sahabatnya, "Janganlah engaku berduka cita (takut) sesungguhnya Allah s.w.t. bersama kita. Lalu Allah menurunkan letenangan di atas dirinya dan menguatkannya dengan bala tentera yang tiada kamu dapat melihatnya (malaikat), dan Allah menjadikan perkataan orang-orang Kafir suatu yang terhina dan perkataan Allah adalah tertinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah:40)

PADANG ARAFAH

Tempat di mana para jemaah haji berwukuf pada 9 Zulhijjah pada musim haji. Sekarang padang ini menjadi hijau setelah pokok-pokok ditanam oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Masjid Namirah di Arafah

JABAL RAHMAH

Terletak di Padang Arafah, Jabal Rahmah adalah sebuah bukit di mana telah berlaku pertemuan antara Nabi Allah Adam dan Hawa, setelah sekian lama terpisah sebaik sahaja diturunkan oleh Allah ke dunia dari syurga. Sebagaimana dikisahkan Nabi Allah Adam a.s. diturunkan di India dan manakala Hawa di Jeddah. Ada antara kami sampai naik ke atas, namun tiada apa yang istimewa hanya tiang batu sebagai memorial.


MUZDALIFAH

Muzdalifah terletak antara Arafah dan Mina. Di sinilah tempat para jemaah haji memungut anak-anak batu kerikil untuk di bawa ke Mina bagi urusan melontar jamrah.

MINA

Tempat jemaah haji bermalam, sementara melaksanakan lontaran jamrah (10 - 13 Zulhijjah)

Rabu, 16 Jun 2010

KEMBARA...CINTA TIGA...MAKKAH
Selasa, 18 Mei 2010
Hajar Aswad

03.00 pagi: Seperti biasa bangun tidur di sini jam 3.00 pagi, kalau terlewat ke Masjid jawapnya solat di luar sahaja.
03.30 pagi: Ke Masjidil Haram bersama Rusli, isterinya, Kak Zai dan dua orang anaknya (lelaki dipanggil Along dan perempuan dipanggil Adik). Sementara menunggu waktu subuh, aku laksanakan solat-solat sunat dan bermunajat kepada-Nya. Dalam hati kecil ini tersimpan hasrat untuk mencium Hajar Aswad, sebelum berangkat tempoh hari aku sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ruang dan peluang mencium batu daripada syurga ini. Seperti mana yang kita ketahui bahawa mwncium Hajar Aswad ini adalah perkara sunat. Oleh demikian, kita harus berusaha untuk mendapatkannya kerana banyak kelebihan dan hikmah tersembunyi disediakan oleh Allah SWT bagi kita yang berjaya menciumnya. Ini kerana Ibnu Abbas (r.a) pernah meriwayatkan Rasulullah SAW. telah bersabda menerusi dua hadis Baginda yang maksudnya:-

"Pada hari kiamat kelak Hajar Aswad itu akan dibangkitkan dengan sebuah lisan yang dapat melihat dia adalah yamin (tangan Allah SWT di dunia) yang dengannya Dia menyalami para hambanya."

"Di bumi ini tidak ada sesuatu pun yang berasal dari syurga, selain Rukun (Hajar Aswad dan Makam Ibrahim, Sesungguhnya keduanya adalah permata yang berasal dari syurga, dan seandainya keduanya tidak tersentuh oleh kaum musyrik, nescaya setiap orang sakit yang menyentuhnya akan disembuhkan oleh Allah."

Untuk kita menciumnya memerlukan kekuatan, komitmen dan kesungguhan diri yang tinggi serta kemampunan fizikal dan jasmani yang kuat bagi menahan gelombang asakan dan himpitan para jemaah terutamanya mereka yang bertubuh besar dan tinggi. Ini mungkin merupakan prasyarat untuk menguji sama ada kita mampu bersaing atau hanya sebagai pemerhati sahaja dalam arus perjuangan ini. Ini dapat aku lihat betapa bersungguh dan daya tahannya jemaah dari negara India dan Pakistan mereka sangguh berjuang habis-habisan untuk mencium Hajar Aswad ini, jika dibandingkan dengan jemaah dari negara kita yang tidak sangguh berpanas, belum lagi berasak dan berhimpit dalam gelombang arus perdana ratusan dan ribuan jemaah.

Selesai menunaikan solat subuh, aku melaksanakan tawaf sunat. Seperti biasa selepas tawaf, berdoa di Multazam, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim. Pagi ini aku mendapat ruang untuk bersolat taubat di Hijir Ismail betul-betul di bawah Pancu Emas (gembira sungguh) lama juga di sini, berdoa seperti mana diajarkan. Aku berdoa moga Allah memberikan izin berjabat tangan-Nya (cium Hajar Aswad) dengan permintaan sungguh-sungguh tanpa disedari titisan air mata membasahi pipi.

Selepas meminta dan merayu kepada Yang Maha Esa aku keluar meninggalkan Hijir Ismail menyusuri Rukun Yamani. Jemaah ketika ini terlalu ramai melaksanakan tawaf umrah dan sunat, pelahan-lahan aku mengiring melepaskan diri celahan ribuan tetamu Allah. Ia-Nya memberikan aku laluan mudah ke Hajar Aswad hinggakan aku tidak sedar sudah berada di hadapan Hajar Aswad, tergamam. Aku terus benamkan muka ke Hajar Aswad, tidak terkata apa ketika ini hanya linangan air mata syukur. Alhamdulillah Ya Allah..Kau telah perkenankan permintaan ku. Syukur...syukur...syukur. Hari ini, hari paling gembira dan bererti bagi ku.
06.30 pagi: Rehat sebentar di Dataran Kaabah, sambil merenung kebesaran-Nya. Dalam perjalanan pulang ke hotel, singgah di kedai jual kebab, beli kebab ayam...makan sambil berjalan.huuu..sedapnya. Sarapan di hotel nasi lemak dan milo panas.
07.30 pagi: Rehat di bilik
11.30 pagi: Ke Masjidil Haram solat zohor, masuk waktu di Makkah hari ini 12.15 tengah hari (5.15 malam waktu Malaysia). Balik makan tengah hari di hotel...sup kambing, ayam masak merak, sayur timun arab dan air oren, makan di sini memang berselera. Selepas makan suci pakaian sendiri..nak hantar dobi agak mahal juga harganya.

03.30 petang: Ke Masjdil Haram semula untuk solat Asar bersama Abang Azri dan Roslan Termeloh, Pahang. Selepas solat kami mengambil peluang berjalan-jalan dalam kawasan masjid sambil melihat keindahan seni bina Masjidil Haram, minum air Zam-Zam dan ambil gambar. Di Tingkat satu terdapat kelas menghafal Al-Quran bagi kanak-kanak berumur dalam lingkungan 3 hingga 12 tahun. Aku mohon izin untuk mengambil gambar mereka tetapi tidak dibenarkan oleh tenaga pengajar yang mengajar mereka. Aku lihat ramai juga kanak-kanak keturunan Melayu, tetapi tidak pasti sama ada mereka rakyat Malaysia, Indonesia atau Petani (selatan Thailand).

"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Ya Allah aku mohon kepada-Mu ilmu pengetahuan yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala penyakit."

06.00 petang: Balik hotel...singgah beli roti arab, minum petang di hotel, belanja kawan-kawan makan roti arab.
06.30 petang: Ke Masjidil Haram semula untuk solat Maghrib (waktu Maghrib di Makkah 6.57 petang). Solat di Dataran Kaabah. Iktikaf dalam masjid sementara menanti masuknya waktu Isyak (8.25 malam)
09.30 malam: Balik hotel, makan malam.
11.00 malam: Selamat malam...tidur dah letih.
LELAKI TUA...
Isnin, 17 Mei 2010 bersamaan 3 Jamalilakhir 1431
6.45 petang, Dataran Kaabah


Jemaah dah mulai memenuhi ruang-ruang kosong di Dataran Kaabah, masing-masing mencari ruang dan peluang mendapatkan tempat di belakang imam berhampiran dengan Makam Ibrahim. Aku diberikan ruang di Dataran Kaabah saf nombor 8 bertentangan dengan Rukun Yamani, aku solat Maghrib di sini, solat hari pertama sampai di Makkah. Di sebelah kiri aku Rusli, dan Abang Azri kami masih berpakaian ihram kerana belum berkesempatan untuk tawaf, sei dan bergunting kami bercadang melaksanakannya selepas solat nanti. Kami ditegur oleh seorang pertugas Masjidil Haram agar menutup bahu sebelah kanan ketika solat, kerana kami sudah siap sedia Idtiba' iaitu meletakkan bahagian tengah kain selendang di bawah ketiak kanan, hujungnya pula di atas bahu sebelah kiri di mana bahu kanan terdedah bagi kamu lelaki. Kami ikut sahaja arahannya.
Ketika menanti waktu solat aku disapa oleh seorang tetamu Allah sebelah kanan aku dalam bahasa Inggeris. Tetamu Allah ini memceritakan yang dia seorang musafir, tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan minuman. Dia meminta sedikit wang daripada aku....aku kata "saya tidak membawa wang". Pada hal aku ada membawa sedikit wang dalam poket tali pinggang ihram, perbualan kami berhenti di sini. Aku berfikir semula "siapakah dia", kenapa aku sanggup berbohong di depan Kaabah. Aku lihat lelaki tua itu merupakan seorang yang baik, wajahnya bersih dan putih kemerahan serta berjubah putih dan serban putih kemas ikatannya. Tidak mungkin dia berbohong...tidak mungkin.
Selesai solat Maghrib, aku bersalaman dan memegang tangan lelaki tersebut meminta ianya menunggu sebentar sehingga aku selesai solat sunat. Aku membuka butang tali pinggang dan menghulurkan kepadanya SR5.00, lelaki tersebut menerimanya dengan senyuman sambil mengangkat dua belah tangannya menghadap ke Kaabah sambil berdoa, dan terus berlalu dan hilang di celah-celah jemaah. Aku cuba mencarinya tetapi...
Sehingga ke hari ini, aku masih terbayang wajahnya...SIAPAKAH DIA...

Selasa, 15 Jun 2010

Sahabat Umrah GF 16 bergambar kenangan...di Bukit Safa

Kak Zai dan dua anaknya Along dan Adik di Ladang Unta Hudaibiyah

Di Lapangan Magnet....tiada apa cuma padang pasir

Isnin, 14 Jun 2010

KEMBARA...CINTA DUA...BAHRAIN - JEDDAH - MAKKAH
Isnin, 17 Mei 2010

04.00 pagi: Bangun tidur, aku dimaklumkan solat subuh di sini jam 3.00 pagi, jam 4.00 pagi dah terang. Aku tak pasti sama ada solat subuh aku hari ni 'subuh gajah agaknya', sakit gastrik aku dah mula terasa. Aku beritahu Haji Zeck. Alhamdulillah Haji Zeck baik orangnya, dia dapatkan susu panas dari kafe hotel, 20 minit selepas meminum susu sakit gastrik berkurangan.

05.30 pagi: Haji Zeck, ajak aku jalan-jalan di luar sekitar hotel, "kita ambil gambar dan mungkin boleh mengurangkan saki perut awak tu" katanya.
07.00 pagi: Sarapan pagi nasi lemak, roti bakar, buah-buahan dan air meniral. Hari ini kami akan ke Jeddah dan terus ke Makkah. Oleh itu jemaah diingatkan memakai pakaian ihram.
07.15 pagi: Mandi sunat ihram, mengenakan pakaian ihram dan solat sunat ihram di bilik hotel tanpa niat umrah dahulu.
Gambar kenangan bersama Abg. Azri di Bahrain sebelum berangkat ke Makkah
Kembara Mencari Kebahagian Hakiki

08.30 pagi: Bertolak di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, urusan mudah. Sementara menunggu penerbangan sms adik (adik bongsu yang manja dengan aku) di Beijing tanya khabar dan maklumkan bahawa aku akan ke Makkah sebentar lagi. Dia membalas sms aku "Ngah selamat menunaikan umrah...doakan saya di sana ya, agar berjaya di dunia dan akhirat, menjadi anak yang soleh".

10.40 pagi: Berlepas ke Jeddah dengan pesawat GF171, aku duduk di kerusi 24A tepi tingkat dapatlah melihat pemandangan kota Jeddah semasa hendak berlepas. Penerbangan ke Jeddah mengambil masa lebih kurang 2 jam. Hidangan makanan tengah hari disediakan, seperti biasa nasi goreng ayam, buah-buahan, manisan dan kopi panas. Dalam penerbangan ini nampaknya para jemaah sentiasa bersedia untuk memasang niat...kalau tertidur nanti takut terlepas miqat pula. Buku panduan umrah sentiasa ditangan dan aku perbanyakkan zikir. Kami memasang niat umrah tepat jam 12.00 tengah hari apabila dimaklumkan oleh ketua juruterang ketika pesawat hendak melintasi Miqat. Selepas memasang niat kami memperbanyakkan tarbiah hinggalah pesawat selamat mendarat.
12.55 tengah hari: Selamat mendarat di Airport King Abdul Aziz, Jeddah. Urusan pemeriksaan imigresen di sini mudah, kebanyakkan orang arab faham dan pandai berbahasa Melayu dan mereka amat menghormati jemaah dari Malaysia. Kami bekerja dalam satu pasukan dalam urusan mengambil bagasi, selesai urusan bagasi kami keluar dalam satu kumpulan dan menyerahkan pasport kepada pihak muassasah Saudi bagi tujuan merekod kemasukan jemaah ke Saudi yang sedia menunggu kami di pintu keluar balai ketibaan. Ketibaan kami disambut oleh wakil pihak muassasah dan Andalusia, solat zuhur di surau Airport. Selesai solat aku hubungi ibu di kampung maklumkan yang aku dah selamat sampai di Jeddah dan dalam proses untuk masuk ke Makkah, jam ketika itu 1.15 petang (waktu Jeddah)/7.15 malam (waktu Malaysia).

02.00 petang: Bertolak ke Makkah dengan bas. Perjalanan dari Jeddah ke Makkah mengambil masa hampir 3 jam. Pemandangan kiri kanan jalan hanyalah hamparan gunung dan padang pasir sahaja, cuaca di Jeddah agak panas iaitu 35C. Doa masuk ke kota Makkah dipimpin oleh Ust. Roslan salah seorang daripada jemaah umrah kami.


05.00 petang: Sampai di hotel penginapan di Makkah, Hotel Royal Sultan lebih kurang 250m daripada Masjidil Haram. Pendaftaran masuk, makan petang. Aku sebilik dengan Haji Zeck (Ketua Rombongan), Rusli dan Roslan Termeloh, Tingkat 4, bilik 410.

Bilik selesa untuk 4 orang, ada TV (boleh dapat siaran TV1) tetapi tak sempat untuk menonton, (kami sibuk dengan ibadah...iyalah bukan senang nak sampai ke sini, ruang dan peluang yang harus dipenuhi sebaik mungkin) telefon dan peti sejuk pun ada. Bilik air pun luas dan selesa tetapi airnya panas...maklumlah Makkah sekarang ini musim panas hingga menjangkau 40C. Kami berehat sebentar di bilik sementara menunggu masa untuk tawaf umrah.

06.30 petang: Kami berkumpul di lobi hotel untuk ke Masjidil Haram melaksanakan tawaf dan sei umrah. Aku mengambil ruang ini untuk bertanya Ust. Haji Syariff (mutawwif kami) tentang masalah tangan aku terkena cecair syampu rambut semasa membuka beg di bilik tadi, kerana kami masih lagi dalam ihram. Ust. Syariff memaklumkan tidak apa cuma bayar denda SR 10.00 sahaja, dan lebih baik diberikan kepada petugas Masjidil Haram dengan akad sebelum meninggalkan Makkah nanti. Apabila bilangan jemaah mencukupi kami bergerak menuju Masjidil Haram dalam satu kumpulan dengan diketuai oleh Ust. Haji Syariff. Kami amat bangga dengan Ust. Haji Syariff kerana peribadinya lemah lembut, mengambil berat jemaah yang uzur (warga emas), sentiasa memberikan bimbingan dan panduan dan melayani keraneh jemaah. Maklumlah umrah ini bukan dilakukan selalu, terutamanya yang pertama kali mengerjakannya. Begitu juga yang telah menunaikan buat kali kedua atau ketiga terkadang terlupa juga.

Sebelum memasuk masjid Ust. Syariff memimpin bacaan doa memasuki masjid dan doa melihat Kaabah. Aku dan Abg Azri tinggalkan selipar di tempat letak kasut di luar masjid bergitu juga jemaah yang lain. Ust. Syariff memberitahu sekiranya kita terpisah, tunggu sahaja di Bukit Marwah. Ketika melihat Kaabah hati ini sayu dan sebak..."betulkah aku di depan rumah-Mu Ya Allah?" bisik hati ini. Hati mana yang tidak tersentuh melihat Baitullah di depan mata, walau pun aku dah kali kedua ke sini tetapi rindu ku ke Baitullah tidak pernah luntur sama sekali...rindu bertemu dengan-MU, rindu kasih sayang-Mu.

Kami solat Maghrib di Dataran Kaabah bertentangan dengan Rukun Yamani. Selepas solat kami dalam satu kumpulan melaksanakan tawaf dipimpin oleh Ust. Haji Syariff, jemaah terlalu ramai ketika ini. Lengkap 7 pusingan tawaf, laksanakan doa berhampiran Multazam dan solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim. Selesai solat tawaf kami bergerak ke Bukit Safa untuk Sei, sehingga di tempat ar Zam-Zam untuk minum, air Zam-Zam merupakan penawar segala penyakit. Azan Isyak berkumdang menusuk kalbu...jam ditangan menunjukan 8.25 malam, kami laksanakan solat Isyak berhampiran Bukit Marwah. Selesai solat kami mulakan Sei dipandu oleh Ust. Haji Syariff, selesai Sei 10.00 malam dan bergunting. Maka selesailah satu umrah dan bebas dari 13 pantang larang umrah. Ya Allah Kau terima umrah kami ini.

10.30 malam: Balik ke hotel penginapan, agak malang sedikit bagi Abg Azri kerana seliparnya hilang begitu juga dengan Ust. Haji Syariff. Kehilangan selipar di sini memang sudah menjadi perkara biasa bagi jemaah. Makan malam di dewan hotel...di tingkat M, aku dapati jemaah makan berselera betul. Pihak hotel menyediakan makanan masakan Malaysia (Melayu). Kemudahan air panas, kelengkapan membuat air seperti teh, gula, milo, susu dan roti disediakan 24 jam. Jemaah boleh membuat air sendiri mengikut cita rasa masing-masing.

11.30 malam: Rehat...selamat malam.

Giliran aku pula hilang selipar...hu hu hu

Ahad, 13 Jun 2010

KEMBARA...CINTA SATU...KL - BAHRAIN
Ahad, 16 Mei 2010


06.35 pagi: Bertolak ke KLIA dihantar oleh adik sepupu, Along
07.45 pagi: Sampai di KLIA, terus ke tingkat 5, menuju kuanter 'K'
09.00 pagi: Taklimat ringkas oleh wakil Andalusia dan Ketua Rombongan. Aku berkenalan dengan Abg Azri dari Kuala Lumpur. Kami sama-sama pergi kembara musafir berseorangan.
09.30 pagi: Urusan masuk pesawat, kami berlepas dengan pesawat GF 281 (KUL - BAH)
10.30 pagi: Berlepas ke Bahrain. Keadaan dalam pesawat tenang, aku duduk di kerusi 25D bahagian tengah, masa banyak dihabiskan membaca buku panduan umrah dan zikir. Penerbangan ke Bahrain mengambil masa 7 - 8 jam. Sejam kemudian minuman ringan dihidangkan, minum air Oren aje....lepas tu makan tengah hari dihidangkan...nasi goreng ayam. Selepas makan tengah hari apa lagi...masa untuk melelapkan, penat.Barang-barang keperluan yang semestilah dibawa telah disiapkan sehari sebelum berangkat. Terutamanya kain ihram 2 pasang, tali pinggan, buku panduan umrah dan buku-buku doa. Semua jemaah dikehendaki berada di Lapangan Terbang KLIA, selewat-lewatnya jam 7.30 pagi sebelum berlepas dan berkumpul di kuanter 'K' balai berlepas antarabangsa di tingkat 5, KLIA. Urusan pendaftaran masuk (check in) jemaah diuruskan oleh pegawai Andalusia dan Ketua Rombongan di kenali dengan panggilan Haji Zeck jam 8.30 pagi.

6.045 petang: (waktu Malaysia)/1.45 petang (waktu Bahrain): Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain. Pemeriksaan imigresen agak ketat dan lambat, hampir satu jam menunggu baru pemeriksaan selesai bagi semua jemaah. Kami dibawah ke tempat penginap di Hotel Golden Tulip lebih kurang 1.5 KM dari Lapangan Terbang dengan menaiki bas, cuaca di sini agak panas. Aku di tempatkan di bilik nombor 352 bersama Abg Azri dan Maarof, iaitu satu bilik tiga orang.
4.045 petang: Sesi lawatan sekitar bandaraya Manama, ibu negara Bahrain, singgah solat Maghrib dan Isyak di Masjid Ahmad Al-Fateh. Pertukaran mata wang di sini terlalu tinggi iaitu RM 100.00 bersamaan 10 Dinar Bahrain.


BERMULANYA...KEMBARA CINTA
MENCARI KEBAHAGIAAN HAKIKI


Salam, Catatan Perjalanan KEMBARA CINTA MENCARI KEBAHAGIAAN HAKIKI ini hanya sebagai panduan rakan-rakan UMRAH GF 16 Mei 2010. Dengan harapan memberikan sedikit manafaat dan faedah kepada kita. Selama 13 malam dan 15 hari di Bahrain, Makkah dan Madinah berbagai peristiwa dan pengalaman yang kita tempohi demi Mencari Kebahagiaan Hakiki.
Sesungguhnya ibadat umrah memerlukan persediaan mental, fizikal dan pengetahuan yang lengkap dan pengorbanan yang sebenarnya . Kita terpaksa mengorbanan masa rehat dan tidur yang tidak menentu setiap hari demi mencari keredaannya. Semoga kita semua mendapat Umrah Muqbullah

Sesungguhnya perkongsian pengalaman ini bukannya niat utk menunjuk-nunjuk (dijauhi sama sekali), tetapi hanya sekadar kita berkongsi pengalaman dan ilmu yang diharapkan akan memberikan manafaat kepada semua pembaca. Yang baik itu dijadikan panduan.

Aku ke sana membawa hati yang lara mencari cintaNya, walaupun tanahnya gersang tetapi sekeping hati yang menuju ke sana sentiasa basah dengan rindu. Aku dan Tetamu Allah, penziarah Rasulullah pasrah menyerahkan segalanya, meninggalkan semua demi cinta, rindu bertemu dengan-Nya.

Untuk keluarga dan para sahabat, di kejauhan ini aku berdoa untuk kalian semua, agar kalian menpunyai masa dan dimurahkan rezeki untuk ke sini juga, jika cinta kita SATU sudah pasti kita akan bertemu juga di sini akhirnya nanti demi CINTA ABADI.

Pergi membawa sekeping hati
yang pasrah tiada lain yang dicari
kecuali kasih sayang-Mu jua Ilahi
Kau terimalah kedatangan aku ini
bertandang di rumah-Mu ini
kan ku reda dengan ujian menanti
datang ku demi cinta Ilahi
cinta pasti diuji akhirnya nanti
mohon keampunan dan cinta sejati
demi kamar Firdausi
Pakaian ihram ditubuh ini
serah seluruh diri
darjat dan gelaran diluruhi
aku hanya seorang hamba kini
benar-benar hina dihadapan Mu Ya Rabbi
Labaiklallah humma labaik!
Hambamu datang yang Allah
Aku datang menyahut panggilan MU
Datang membawa itik hitam di hati ini
sesungguhnya diri ini dari titisan yang hina
jahil dan lemah segalanya
hanya cinta Mu dihati
walau sering diganggui
dakap kasih sayang ini
bawalah diri ini Ya Raabi
melayari bantera cinta suci
menuju pahala Mu
Menuju ampunan Mu
menuju dakapan Mu
menuju kamar Firdausi
itulah cinta nan abadi
rindu seorang hamba
kembara di tanah gersang ini
Ya Allah, kepada-Mu aku kembali
kepada-Mu aku bertaubat hati
dan kepada-Mu aku beribadah
Tuhan Engkaulah yang aku puji
DOA SELAMAT & AKIKAH

9 Mei 2010, Ayahanda, Bonda dan adik beradik mengadakan majlis Doa Selamat untuk aku dan adik bungsu (Cott) yang akan berangkat ke Beijing, China pada 15 Mei 2010 hingga 30 Jun 2010 mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Beijing Foreign Studies University (BFSU'10) anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Manakala aku, akan berangkat menuaikan umrah pada 16 Mei 2010. Dalam majlis ini juga disekalikan dengan upacara akikah anak adik sepupu sebelah ibu (Atikah). Ramai juga saudara mara dan jiran tertangga yang hadir memeriahkan majlis. Terima kasih semua hingga jumpa lagi.

Khamis, 10 Jun 2010

DIUJI LAGI...
Tiga minggu sebelum berangkat tiba-tiba kesihatan aku terganggu. Aku berusaha mendapatkan rawatan di klinik panel majikan, hinggakan sampai 5 -6 panel klinik panel majikan aku pergi nampaknya tidak berjaya juga. Aku dinasihatkan oleh rakan-rakan yang rapat dengan aku supaya berjumpa dengan ustaz yang boleh memberikan 'air penawar' semua ini aku buat tetapi hasil sama juga. Pada 16 April 2010 hari Jumaat lebih kurang jam 11.30 pagi tiba-tiba perut aku menjadi panas dan badan menjadi sejuk, fikiran tidak menentu aku tidak tahu apa sebabnya. Aku mengambil keputusan memandu kereta sendiri terus ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras untuk mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan. Selepas dua jam menunggu barulah aku mendapat rawatan oleh doktor yang bertugas, itupun aku yang minta kerana sudah tidak tahan lagi. Kalau tidak tak tahulah macam mana. Doktor cuma memberikan ubat gastrik, angin dan tahan sakit sahaja.
Selepas dirawat, doktor mengesyorkan supaya aku mendapatkan pemeriksaan endoskopi (OGDS) di hospital yang sama. Pada 27 April 2010 hari Selasa, jam 8.00 pagi aku ke Klinik Surgeri HUKM untuk mendaparkan tarikh temu janji pemeriksaan. Pusat endoskopi HUKM telah menetapkan 13 Mei 2010 untuk aku menjalani pemeriksaan tersebut. Walau bagaimanapun setelah berfikir panjang aku membuat keputusan menunda tarikh pemeriksaan tersebut kepada 10 Jun 2010 setelah kembali daripada menunaikan umrah.
Aku diuji lagi.....sebagai hamba tentunya kita tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Ya Allah berikanlah aku kekuatan menghadapi dugaan ini, dan Kau ampunkanlah segala dosa-dosa ku. Amin.
PENYUCIAN JIWA
Jika kita lihat ibadah umrah itu merupakan satu proses penyucian jiwa di tanah suci dari segala dosa dan titik hitam yang telah kita lakukan secara sedar atau pun tidak sedar. Oleh itu sebelum kita berangkat dan menjejakkan kaki di tanah suci untuk menunaikan ibadah umrah, maka wajib bagi kita menyucikan diri dan jiwa raga dari segala dosa-dosa dari sifat mazmumah yang belum dapat kita bendung. Penyucian jiwa ini memerlukan kita melakuan solat taubat nasuha dengan penyesalan yang amat bersungguh diiringi sunat taubat, tahajud, hajat dan witir.
Pengabdian diri ini harus kita lakukan dengan penuh rasa keinsafan, kesyahduan dan penyesalan yang amat mendalam sebenar-benarnya. Sesungguhnya gamitan dan lambaian Kaabah yang suci itu akan datang menyelinap masuk menghiasi mimpi kita. Insya Allah kita akan diberikan umrah Maqbullah. Maka itu jugalah impian aku. Setiap selepas solat aku akan berdoa agar permergian aku diiringinNya, kedatangan aku diterimaNya, dipermudahkan segala urusan dan mendapat anugerah umrah Maqbullah dan mendapat sahabat umrah sesungguhnya yang boleh membantu dan memberikan panduan.
ANDALUSIA TRAVEL & TOURS

Bagi melakasanakan hasrat murni ini Andalusia Travel & Tours menjadi pilihan. Setelah banyak melayari laman web untuk mencari pakej yang sesuai dengan kemampuan diri. Hujung bulan Februari 2010 aku ke pejabat Andalusia di Jalan Belangkas, Kampung Pandan untuk memilih pakej yang sesuai dengan masa dan harga. Alhamdulillah Andalusia telah memberikan pakej yang berpatutan. Aku memilih pakej penerbangan GULF Airlines (GF) 16 Mei 2010, 15 hari 13 malam. Pakej ini akan singgah dan bermalam di Bahrain dan para jemaah akan dibawah melawat sekitar bandar Bahrain. Aku fikir bagus juga kerana aku tidak pernah lagi ke Bahrain, setidak-tidaknya dapat juga melihat, melawat Bahrain dan tambah lagi pengalaman.
Sebulan sebelum berangkat aku mengikuti kursus umrah yang diadakan secara percuma di pejabat Andalusia, Kampung Pandan setiap hari Sabtu dan Ahad tetapi aku memilih hari Ahad kerana hari Ahad paling sesuai bagi aku. Kursus dibimbing sendiri oleh Dato' Ustaz Haji Md Daud Che Ngah, Pengerusi Eksekutif Andalusia dan adakalanya penceramah undangan yang memberikan motivasi kepada bakal tetamu Allah dan penziarah Rasulullah. Kursus bermula jam 9.00 pagi, selalunya dimulakan dengan doa dan cerita-cerita menarik di dua Tanah Suci Makkah dan Madinah dan pengertian umrah. Jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi berhenti rehat, peserta kursus akan disajikan dengan minuman panas teh 'O' dan nasi lemak percuma. Inilah kelebihan Andalusia. Peserta kursus diasingkan di mana di tingkat 2 untuk wanita dan tiingkat 3 untuk lelaki.
11.10 pagi disambung semula dengan topik Rukun, wajib dan sunat umrah dan kelebihan solat di Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Selalunya kursus akan berakhir jam 1.00/1.30 petang.

Rabu, 9 Jun 2010

LAMBAIAN SUCI

amatilah buih-buih dalam gambar ini....gambar ini aku ambil 20 Mei 2010 selepas solat waktu Isyak lebih kurang jam 9.30 malam dari luar Masjidil Haram (Pintu 1 - King Abdul Aziz)

Sejak balik dari mengerjakan Haji pertama pada 26 Januari 2006, hati ini sentiasa gelisah rindukan Baitullah. Kerap kali bermimpi sampai di sana, oleh demikian aku selalu berdoa dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik agar dapat kembali semula ke sana. Lambaian Suci ini semakin memuncak pada awal tahun 2010. Alhamdulilah.....Allah telah memberikan sedikit rezeki pada aku, rezeki ini aku simpan sedikit demi sedikit dalam akaun Tabung Haji dengan harapan Allah akan menjemput aku ke rumahNya satu hari nanti.

Awal Februari 2010 aku membuat keputusan untuk melaksanakan umrah pada bulan Mei 2010 setelah memgambil kira cuti rehat yang terkumpul membolehkan aku memgambil cuti rehat yang panjang dan beban tugas dipejabat agak berkurangan ketika itu. Hasrat ini saya maklumkan kepada ayahanda dan bonda (mohon izin). Alhamdulillah mereka tidak menghalang sebaliknya memberikan semangat kepada aku. Sudah menjadi amalan aku memohon izin dan restu kedua orang tua dalam apa jua perkara yang hendak dilaksanakan, restu orang tua tu kan membawa berkat!

Kita dicipta-Nya penuh indah
Disediakan-Nya kamar ibadah
Disinari-Nya nur yang melimpah
Itulah tanda keagungan nur Allah

Jika kita amalkan muhasabah
Hayati Quran, Sunnah Rasullullah
Zikir, munajat Alhamdulilah
Puji segala nikmat diberi Allah

Semat kebaikan dalam hati
Pilihlah jalan suci abadi

Itulah kehidupan mukmin sejati
Membawa panji mengenal llahi

Rebutlah dua rakaat sembahyang
Ketika digelita malam hari
Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang
Moga bahagia kita di sana nanti

Selasa, 8 Jun 2010

SAMBUTAN HARI IBU

Sempena Hari Ibu kami adik beradik dan sepupu telah mengadakan Sambutan Hari Ibu untuk Bonda, Nenekanda dan Ibu Saudara tercinta tanpa mereka sesiapalah kami. Kesempatan ini diadakan juga sambutan Hari Lahir anak buah tersayang Ella yang ke 2 tahun. Majlis kali ini ditaja sepenuhnya oleh adik, yang kami panggil Acu dan adik ipar Ita. Terima kasih dauh keladi, tahun depan taja lagi.

Majlis diadakan di rumah ibu di kampung, 8 Mei 2010, jam 9.00 malam. Kali ini kami melantik adik yang bongsu (Cott) menjadi Pengerusi Majlis manakala doa selamat dipimpin oleh ayahanda tercinta. Majlis dimulakan dengan Doa Selamat, memotong Kek Hari Ibu dan Kek Hari Lahir Ella, penyampaian cenderamata kepada Ibu tersayang, jamuan makan malam dan akhir sekali cabutan nombor bertuah bagi mereka yang bergelar ibu. Majlis berakhir jam 11.00 malam.

Kasih Ibu membawa ke Syurga.

Ella memotong kak hari lahir bersama Ayah dan Abang