UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Daftar Segera.....

Daftar Segera.....

Holidays...Pelancongan Tersohor

Holidays...Pelancongan Tersohor

BADAL HAJI & UMRAH 2019

BADAL HAJI & UMRAH 2019

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul




وَقَالَتْ أُولاَهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
(surat Al-A'Raaf ayat 39)
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat). - Al-Mulk.2
Tegak Rumah Kerana Sendi,
Runtuh Sendi Rumah Binasa,
Sendi Bangsa Adalah Budi,
Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa.
Adat Bersaudara,
Saudara Dipertahankan,
Adat Berkampung, Kampung dipertahankan,
Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan,
Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan.

"Jangan sedih jika diri tidak dihargai, tetapi tangiskanlah apabila diri tidak berharga lagi"
"Lambaian Suci...Kembara Ilahi Siri-8, ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, Transit Muscat, Oman 12 - 24 Jan 2020. Ya Allah permudahkan segala urusan kami".

Sepanjang perjalanan hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika ia tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Firman Allah. Ertinya:
"Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana
Allah
" (Surah al-Baqarah 2:196)

Firman Allah. Ertinya:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan ketaqwaan yang benar dan janganlah kamu mati kecuali sudah lengkap Islam (melakukan dengan sepenuhnya rukun-rukun Islam" . (Surat Ali 'Imran 3:102)

Khamis, 22 April 2010

MENGUASAI DIRI

Tidak ada sesuatu yang lebih sukar bagi seseorang selain menguasai nafsu, mengubahnya dari sifat-sifat yang tercela dan menggantinya dengan akhlak yang mulia, kebiasaan yang baik dan perilaku yang utama.

"Dan siapa yang dipelihara dari kepelitan dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung."
(surat al-Hasyr: 9)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bukanlah orang yang kuat itu yang menang bertumbuk, tetapi orang yang kuat adalah yang dapat menguasai dirinya ketika marah"

(sumber: Buka Terapi mengatasi kebosanan JANGAN BERPUTUS ASA)

Rabu, 21 April 2010

MASJID PENUH BARAKAH

LIHATLAH KEAGUNGAN-NYA
Biji Kurma tertera kalimah Allah ini ditermui oleh Pak Cik aku, iaitu Haji Bahasa bin Haji Othman pada 21 September 1992/25 Rabiuakhir 1416 H. Biji Kurma ini masih lagi disimpannya dengan baik. Renung dan fikirkan.....!

Isnin, 19 April 2010

SELAMAT TINGGAL BANDA ACEH
CATATAN: 17 MAC 2010

Banda Aceh kami tinggalkan penuh dengan kenangan manis, keinsafan (tsunami), persahabatan masyarakat serumpum. Mewujudkan masyarakat yang kaya (segi kefahaman dan penghayatan), perkasa (kreativiti dan keterampilan) dan bangga dengan jati diri, budaya dan kesenian sebagai akar ubi nasionalisme dan kehidupan dalam masyarakat global dan perindustrian di samping sebagai benteng apabila berhadapan dengan pengaruh budaya asing yang negatif. Harapan kami berjaya mewujudkan hubungan persaudaraan antara dua buah negara serumpum Malaysia dan Indonesia melalui budaya dan kesenian berteraskan Islam.

Kami bertolak dari Asrama Haji ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda pukul 8.30 pagi, diiringi oleh beberapa orang urus setia daripada LaSQI. Urusan pendaftaran masuk agak mudah, tetapi bagasi saya ditahan hanya disebabkan oleh krim pencukur muka yang saya bawa. Setelah berbincang dengan pihak imigresen dan memberikan penjelasan baru bagasi saya dibenarkan masuk. Begitu juga cenderamata yang saya bawa untuk dihadiahkan KPDBP dan Pengerusi BKDBP, cenderamata ini tidak dibenarkan dibawa dengan 'bagasi tangan' (hanya gambar frame sahaja, kecil pulak tu...). Maka terpaksalah masuk kargo...nasib baik saya dibantu oleh sdr. Razid dalam urusan ini (terima ajeid). Berlepas pulang dengan pesawat AK 306 ke LCCT, Kuala Lumpur pukul 1.00 petang (waktu Aceh) dalam penerbangan semua tidur (penat kot) masa yang diambil satu jam 30 minit untuk sampai ke LCCT. Sampai LCCT pukul 3.30 petang (waktu Malaysia). Kami diambil dengan dua kenderaan rasmi DBP, dalam perjalanan pulang ke DBP kami singgah makan di Perhentian Rehat dan Rawat Nilai. Maklumlah dalam kapal terbang tidak dapat makan, bukan kehabisan wang tetapi makanannya sudah habis, apa lagi ada yang sudah masuk angin daa..Sampai di DBP jam 6.00 petang. Sebelum pulang ke rumah masing-masing kami bersalaman dan bermaafan antara satu sama lain, ini sudah menjadi tradisi kami.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu mewajarkan saya dan rakan Rayyan ke Aceh. Khasnya Ketua Pengarah dan Pengurusan DBP, Pengerusi Badan Keluarga DBP, Koperasi DBP (M) Sdn. Bhd. Mubari Sdn. Bhd. ,Datuk Mohd Ariffin bin Arif, Encik Abd Ghapar Haji Abdullah dan orang perseorangan yang tidak dapat saya catatkan di sini, termasuklah mereka membantu menaip dan faks surat, Puan Zarimah, Puan Zawiyah, Encik Harun, Encik Jasni, Encik Murad, Encik Hasnol dan pemandu yang menghantar dan mengambil kami di LCCT. Terima Kasih Daun Keladi.

Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.
MAJLIS DISKUSI
CATATAN 16 MAC 2010: 8.30 MALAM

Majlis Perpisahan Kunjungan Muhibbah Rayyan di Aceh telah diadakan di Dewan Makan Asrama Haji. Majlis yang santai ini memberi ruang kepada yang hadir bertukar-tukar pandangan/pemikiran antara pihak DPW LaSQI dan Rayyan dalam lapangan kesenian Islam. Malam ini ramai tokoh-tokoh budaya, penulis dan pemuzik Aceh yang hadir. Majlis berakhir jam 11.00 malam.

LAWATAN KE MUZIUM TSUNAMI
CATATAN 16 MAC 2010: 10.00 PAGI

Jam 10.00 pagi lawatan ke Muzium Tsunami, yang terletak di tengah-tengah Banda Aceh. Muzium ini menyimpan khazanah yang tinggi nilainya, keadaaan sebelum, semasa dan selepas bencana tsunami melanda Banda Aceh.

Jumaat, 16 April 2010

MASJID PENUH BARAKAH
CATATAN 15 MAC 2010, 7.30 MALAM

Sebelum berlepas ke Aceh, saya berdoa agar diberikan ruang dan peluang untuk bersolat di Masjid Raya Baiturrahman yang penuh barakah ini. Alhamdulliah Allah itu Maha Kuasa atas hajat hambanya, saya berpeluang solat Isyak di sini pada 15 Mac 2010. Pada 16 Mac 2010, dalam kesibukkan rakan-rakan membeli-belah di sekitar masjid saya mencuri masa untuk solat Asar di masjid penuh barakah ini. Ya Allah kuatkan iman kami, jauhi kami daripada segala bala bencana. Amin. Melangkah sahaja masuk ke dalam masjid ini hati rasa tenang, aman walaupun di luar kawasan masjid sibuk dengan aktiviti peniaga.

Khamis, 15 April 2010

RUMAH ANAK YATIM JOHOR, ACEH (RAYJ)
CATATAN 15 MAC 2010, 2.00 PETANG


Encik Ghapar (ketua delegasi kami), telah menyatakan hasrat beliau kepada saya agar kami dapat melawat rumah anak-anak yatim di sini. Terutamanya anak-anak yang kehilangan ibu dan bapa akibat bencana tsunami di Aceh, yang mana kami boleh menghulurkan sedikit sumbangan dan bantuan buat mereka. Dengan bantuan urus setia LaSQI, kami dibawa melawat ke Rumah Anak Yatim Johor yang terletak di Desa Ajun Jeumpet, Banda Aceh. Asrama RAYJ ini telah dibuka pada Oktober 2005 yang menjadi saksi antara sumbangan kerajaan Johor yang berterusan buat anak mangsa bencana alam dan negara jiran dibina di atas tanah wakaf berkeluasan 1,183 meter persegi. RAYJ ini menempatkan 38 orang anak yatim lelaki sahaja di sekitar Aceh. Anak yatim di sini dijaga dan dididik pengasuh tempatan terlatih yang mendapat pendedahan dan latihan mengenai penjagaan anak yatim dibeberapa AAYJ di Johor.

Anak Yatim yang diterima di sini berusia antara lapan 8 hingga 10 tahun selepas bencana tsunami, kini mereka semua sudah menjangkau usia belasan tahun, malah turut cemerlang dalam pendidikan dan agama. Menurut Pengetua RAYJ, kerajaan Johor turut membawa kaunselor dan guru dari Malaysia untuk memberi pendedahan dan kaunseling kepada anak-anak yatim di sini, malah ada diantara mereka dibawa ke Malaysia bagi melihat sendiri sistem pendidikan dan penjagaan anak yatim di Johor.

Kedatangan kami disambut dengan alunan selawat oleh anak-anak yatim, hati mana yang tersentuh?, kami juga dihiburkan persembahan lagu-lagu nasyid oleh anak-anak ini. Bagi menghiburkan mereka Rayyan turut serta dalam persembahan ini dengan membawa lagu Selawat Nabi. Kami tinggalkan RAYJ dengan rasa sebak, diiringi doa agar anak-anak ini beroleh perlindungan Yang Maha Esa. Amin.

LAWATAN KE KAMPUNG LAMPULO
CATATAN 15 MAC 2010

Kedatangan kami ke Kampung Lampulo yang merupakan salah sebuah kampung yang dilanda tsunami, disambut meriah oleh penduduk kampung dengan persembahan selawat dan marhaban. Masyarakat Aceh memang terkenal dengan budi bahasa yang tinggi, menghormati tetamu luar yang berkunjung ke tempat mereka. Dalam lawatan ini, kami diperkenalkan dengan kraftangan dan produk hasil penduduk kampung. Encik Ghapar selaku ketua rombongan telah menyampaikan ucapan dan cenderamata kenangan kepada wakil ketua kampung. Saya membeli produk minuman yang berasaskan peti halia merah. Agak pedas...tetapi bagus untuk membuang angin dalam badan.

PERASMIAN DAN PENUTUPAN FESTIVAL QASIDAH PROVINSI ACEH 2010
CATATAN 14 MAC 2010


Memang menjadi tanggungjawab seorang ketua mempastikan semua persiapan persembahan telah dibuat sebaik mungkin. Kerana penampilan kali ini agak berbeza di mana kami membawa imej DBP dan juga negara, ke peringkat antarabangsa. Saya selalu memberikan ingatan kepada rakan-rakan sepejuangan, kita mesti mempunyai prinsip 'menjadi yang terbaik' di mana jua kita berada.
Kami sarapan pagi hari ini awal sedikit iaitu pukul 7.30 pagi, selepas sarapan kami bertolak ke Dewan Kebudayaan, di Anjong Mon Mata di mana tempat berlangsungnya festival. Kami menaiki van kedutaan Indonesia yang dihadiahkan oleh pihak kedutaan Indnesia di Kuala Lumpur kepada pemerintah Aceh selepas berlakunya tragedi tsunami, pemandu mobil ini baik orangnya kerana sentiasa melayan karenah kami. Saya dan rakan rombongan di tempatkan di sebuah bilik menunggu. Ketibaan kami bersama VIP disambut dengan persembahan kebudayaan Aceh. Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Qariah Aceh, Ucapan alu-aluan wakil LaSQI, Ucapan perasmian oleh wakil Gabenor Aceh. Kumpulan Rayyan dari KL membuat penampilan dengan 2 buah lagu (Perjalanan dan Khazanah). Festival kali ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kanak-kanak, remaja dan dewasa.

12.00 tengah hari kami diundang ke majlis Jamuan Makan Tengah hari di kediaman rasmi Wakil Gabenor Aceh. Majlis penutupan festival
disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Aceh, Bapak Muhammad Nazar, jam 1.00 pagi (waktu Malaysia). Rayyan tampil dengan 2 buah lagu (Kembara di Tanah Gersang dan Ummah Khalifah). Penampilan Rayyan telah mendapat pujian Bapak Wakil Gabenor.



FESTIVAL QASIDAH PROVINSI ACEH 2010
CATATAN 13 MAC 2010


Kebiasaannya jika saya berada tempat baru agak sukar untuk tidur malam, nampaknya tidak kali ini, saya tidur lena...solat subuh pun orang kita, subuh gajah. Kami sarapan pagi di kafeteria Asrama Haji lebih kurang jam 8.00 pagi. Selepas sarapan, kami membuat kunjungan mesra ke Dewan Pimpinan Wilayah Lembaga Seni Qasidah Indonesia (DPW LaSQI) Banda Aceh. Kami bertukar-tukar fikiran dan berkenalan dengan pihak urus setia festival. Taklimat ringkas mengenai festival telah diberikan oleh Bapak Aidil Kamal yang merupakan Setiausaha LaSQI, Wilayah Aceh.

Kemudian kami dibawa melawat sekitar
Banda Aceh dan beberapa tempat yang masih terdapat kesan tsunami yang melanda Aceh 26 Disember 2006, iaitu 6 tahun yang lalu.
Sebelah petang sesi raptai dan latihan. Pukul 8.30 - 11.00 malam latihan dan raptai untuk majlis pembukaan dan penutupan di Dewan Kebudayaan, Anjong Mon Mata, Banda Aceh.

Rabu, 14 April 2010

KUNJUNG MUHIBBAH KE BANDAR ACEH:
CATATAN 12 MAC 2010


Rombongan kami seramai 9 orang bertolak dari DBP ke LCCT lebih kurang jam 8.45 pagi dengan menaiki Pajero DBP dan 2 dua teksi yang disewa khas. Sampai di LCCT pukul 9.30 pagi dan terus proses pendaftaran masuk yang diuruskan oleh Sdr. Razid. Selepas selesai proses pendaftaran masuk kami sarapan pagi di salah sebuah restoran yang terdapat di LCCT. Saya dan Cikgu Mahzan makan nasi lemak dan air meniral aje, harganya agak mahal. Jam 12.55 tengah hari berlepas ke Bandar Aceh dengan pesawat AK 305. Penerbangan ke Banda Aceh mengambil masa satu jam tiga puluh minit. Saya mendapat tempat duduk di sebelah tingkap. Dalam penerbangan kami tidak banyak berbicara, cuaca hari ini baik tetapi agak berawan itu yang dimaklumkan oleh Juruterbang. Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Aceh tepat jam 1.30 petang (waktu Aceh).

Ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Mudah disambut oleh beberapa orang pegawai DPW LaSQI Aceh, dan terus dibawa ke tempat penginapan di Asrama Haji Banda Aceh. Dalam perjalanan ke tempat penginapan kami sempat singgah ke kawasan perkuburan mangsa tragedi tsunami. Yang mana dimaklumkan lebih kurang 50,000 mayat telah disemadikan di sini dalam satu lubang perkuburan yang besar. Sampai di tempat penginapan pukul 2.30 petang, kami dihidangkan makanan tengah hari masakan Aceh. Petangnya akitiviti bebas, makan malam jam 8.00 malam dan membuat latihan vokal ringan di tempat penginapan. Selamat malam.

Rombongan kami terdiri daripada:
  • Abdul Ghapar bin Haji Abdullah - Ketua Dalegasi
  • Haji Mahzan Manan - Pencipta/Penggubah lagu/Pembimbing
  • Abu Bakar bin Haji Buyong - Ketua Kumpulan
  • Razid Sahran
  • Mohd Fadzli Haji Tajuid
  • Nasarudin Nasir
  • Mohd Rizan Yusof
  • Mohd Zamri Haji Abdul Hamid
  • Haji Jalidar Abdul Rahim - Penyelaras

Selasa, 13 April 2010

DIA LEBIH BERKUASA...


Kerosakan yang diabadikan untuk tatapan kita semua.


Masjid penuh barakah, Masjid Rahmatullah
di perkampungan Kampuuk, Aceh Besar





Perahu nelayan yang dilambung ombak tsunami sejauh 5 Km
dari pantai tersangkut di tingkat 2 sebuah rumah di Kampung Lampula

KERDILNYA DIRI...

Ketika berada di Banda Aceh masa dimanfaat sepenuhnya melihat kesan-kesan gelombang tsunami yang melanda Banda Aceh pada 26 Disember 2004, kesan ini masih kekal hingga ke hari ini. Seperti Kapal Tangki Tenaga Eletrik Nasional Indonesia masih lagi terdampar di kawasan perumahan kampung Pungeblang Cut berhampiran pusat Banda Aceh yang dibawa oleh gelombang tsunami sejauh 7 kilometer dari laut. Dan sebuah bot nelayan tersadai di tingkat 2 sebuah rumah di kampung Lampula yang berhampiran dengan pantai. Bot ini dihanyutkan oleh ombak tsunami sejauh 5 kilometer dari pantai. Mengikut cerita seorang penduduk kampung seramai 50 orang yang sempat menaiki bot ini terselamat dari amcaman ombak tsunami. Tempat-tempat ini menjadi tarikan pelancong luar untuk melihat betapa hebatnya kuasa Allah yang tidak terfikir oleh kotak pemikiran hamba-Nya. Begitu juga, kami melihat sendiri tiga buah masjid yang penuh barakah yang terselamat walaupun sekitarnya menjadi padang jarak padang terkukur iaitu Masjid Raya Baiturrahman yang terletak di tengah pusat Banda Aceh, Masjid Kampung Oh La leh yang terletak berhampiran pantai Banda Aceh dan Masjid Rahmatullah di perkampungan Lampuuk, Kec. Lhoknga. Kab. Aceh Besar yang mengambil masa hampir 2 jam menaiki kereta daripada Bandar Aceh. Saya sempat solat sunat di Masjid Rahmatullah yang penuh barakah ini. Ya Allah betapa Agungnya Kuasa Mu, saya menitiskan air mata di sini, kerana terlalu sebak betapa kerdilnya diri ini. Sebelah sudut kiri belakang masjid ini masih terdapat kesan-kesan kerosakan tsunami yang ditinggalkan untuk tetapkan orang ramai dan generasi akan datang. Saya juga berpeluang memziarahi dua buah perkuburan besar, di sinilah disemadikann puluhan ribu mangsa tsunami. Al-Fatihah.
Untuk tatapan generasi yang datang pemerintah Aceh telah membina sebuah muzium, yang dinamakan Muzium Tsunami. Di sini, pengunjung akan dapat melihat keadaan Banda Aceh sebelum, semasa dan selepas kejadian tsunami. Kini, Aceh dikenali dengan nama Nannggroe Aceh Darussalam dan sedang pesat membangun bersama keagungan syiar Islam.

DUTA KESENIAN KE ACEH

Banda Aceh, Tanggal 12 – 17 Mac 2010, saya berkesempatan membawa Kumpulan Nasyid Rayyan DBP membuat Kunjungan Muhibbah ke Banda Aceh, Indonesia atas undangan Dewan Pimpinan Wilayah Lembaga Seni Qasidah Indonesia (LASQI) Provinsi Aceh. Kunjungan Muhibbah ini bagi membolehkan Kumpulan Rayyan membuat penampilan dalam Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Tingkat Provinsi Aceh 2010, yang diadakan setiap dua tahun ini bagi memilih wakil Aceh ke tingkat nasional. Dalam Festival kali ini beberapa kategori telah dipertandingkan iaitu, kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan, remaja lelaki dan perempuan dan dewasa lelaki dan perempuan.

Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Tingkat Provinsi Aceh 2010 telah diadakan di
Anjong Mon Mata, Banda Aceh, Indonesia penuh warna warni dengan penglibatan seramai 83 orang peserta dari 23 kabupaten/kota di Aceh. Festival kali ini telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada seluruh masyarakat Aceh yang telah dibuka secara rasminya oleh Bapak Wakil Gubernur Aceh pada tanggal 14 Mac 2010, jam 9.00 pagi.

Kumpulan Rayyan sebagai artis undangan dalam festival kali ini telah membuat dua penampilan, pertama dengan menyampaikan 2 buah lagu iaitu Perjalanan, ciptaan Haji Mahzan Manan dan liriknya oleh Abby dan lagu kedua Khazanah, Ciptaan Haji Mahzan Manan, manakala liriknya oleh SN Datuk A. Samad Said. Penampilan dua, Rayyan telah menyampaikan 2 buah lagu iaitu Kembara di Tanah Gersang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher dan Ummah Khalifah, ciptaan Haji mazhan Manan, liriknya oleh Haji Jalidar Abdul Rahim. Rayyan telah berjaya memukau penonton yang hadir dengan persembahan yang bertenaga dan penuh penghayatan. Penampilan Rayyan kali ini telah mendapat pujian daripada Bapak Wakil Gubernur Aceh iaitu Bapak Muhammad Nazar serta karyawan seni Aceh yang hadir.

Dalam kunjungan ini, Rayyan telah berjaya memperkenalkan genre nasyid Malaysia kepada masyakarat Aceh yang mempunyai kelainan tersendiri berbanding seni nasyid dan qasidah di Aceh. Kelainan ini jelas dari segi melodi, gubahan muzik dan cara persembahan. Kelainan genre nasyid yang dipertontonkan oleh Rayyan ini, kita dapat membuktikan kepada peminat seni muzik tanah air bahawa genre nasyid Malaysia dapat diterima oleh masyarakat luar khususnya di peringkat antarabangsa. Selain itu, hal ini juga dapat menjadikan nasyid sebagai antara medium dakwah yang berkesan dan medium untuk mengembangkan bahasa dan kesussasteran Melayu yang boleh diterima oleh masyarakat luar. Kunjungan Rayyan ke Aceh telah merapatkan hubungan antara Malaysia dengan Aceh menerusi program kesenian berunsur Islam.

Kesempatan ini, saya dapat menjejaki, memahami, mempelajari serta menghayati seni qasidah serta kebudayaan masyarakat Aceh yang serumpun dengan bangsa Melayu di Malaysia. Dengan ini kami dapat mengenali jati diri budaya masing-masing, di samping memahami dan menghormati budaya-budaya lain. Dan mampu berinteraksi secara sinergi antara satu dengan yang lain dalam usaha mengukuhkan hubungan persaudaraan dua negara khususnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan.