UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Daftar Segera.....

Daftar Segera.....

Holidays...Pelancongan Tersohor

Holidays...Pelancongan Tersohor

BADAL HAJI & UMRAH 2019

BADAL HAJI & UMRAH 2019

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul




وَقَالَتْ أُولاَهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
(surat Al-A'Raaf ayat 39)
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat). - Al-Mulk.2
Tegak Rumah Kerana Sendi,
Runtuh Sendi Rumah Binasa,
Sendi Bangsa Adalah Budi,
Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa.
Adat Bersaudara,
Saudara Dipertahankan,
Adat Berkampung, Kampung dipertahankan,
Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan,
Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan.

"Jangan sedih jika diri tidak dihargai, tetapi tangiskanlah apabila diri tidak berharga lagi"
"Lambaian Suci...Kembara Ilahi Siri-8, ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, Transit Muscat, Oman 12 - 24 Jan 2020. Ya Allah permudahkan segala urusan kami".

Sepanjang perjalanan hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika ia tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Firman Allah. Ertinya:
"Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana
Allah
" (Surah al-Baqarah 2:196)

Firman Allah. Ertinya:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan ketaqwaan yang benar dan janganlah kamu mati kecuali sudah lengkap Islam (melakukan dengan sepenuhnya rukun-rukun Islam" . (Surat Ali 'Imran 3:102)

Selasa, 30 November 2010

KEKALKAN KECINTAAN KEPADA MASJID SELEPAS BERGELAR HAJI/HAJAH
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan orang-orang yang menempuh reda Kami maka nescaya akan Kami tunjukkan jalan mereka, dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang berbuat baik." (Al-Ankabut :64)
Pemandangan luar Masjid Quba
DALAM Surah Al-Baqarah ayat 197 dinyatakan masa untuk mengerjakan ibadat haji adalah beberapa bulan yang termaklum (dari 1 Syawal, Zulkaedah hingga sebelum terbit fajar pagi hari ke-10 Zulhijah).

Kini bulan Zulhijah pantas meninggalkan kita dan insya-Allah pada 7 Disember (1 Muharam) nanti akan bermula tahun baru Hijrah 1432. Jemaah haji mulai berbondong-bondong meninggalkan Tanah Suci Makkah dan Madinah, malah ada yang sudah berada di tanah air. Diucapkan selamat kembali kepada mereka, semoga dikurniakan haji mabrur yang balasannya tiada lain, kecuali syurga.

Apabila berada di tanah air, kenangan jemaah bergegas dan berpusu-pusu menyertai solat waktu di Masjidilharam dan Masjid Nabawi pasti sukar dilupakan. Demikian juga kenangan ke masjid pertama didirikan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Masjid Quba’ pasti sentiasa dalam ingatan. Berkenaan masjid ini, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”

Sewajarnyalah kebiasaan jemaah haji bergegas ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk solat waktu berjemaah dilanjutkan ketika berada di tanah air. Ini kerana ada banyak kelebihan jika seseorang dapat solat berjemaah di masjid termasuk bersegera ke sana. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya; “Jika sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya kelebihan datang awal ke masjid untuk solat fardu berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.”

Apa diharapkan keghairahan ke masjid ini dapat dikekalkan insan bergelar haji. Mereka perlu mengekalkan momentum segera ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah pada setiap waktu. Malah ada ganjaran istimewa menanti seorang ‘kaki masjid’ sehingga ada sebuah hadis Rasululullah s.a.w. menyebut mereka adalah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat nanti.

Namun takwalah sewajarnya menjadi pilihan, kerana atas dasar inilah Masjid Quba’ didirikan oleh Rasulullah s.a.w.

Jumaat, 26 November 2010

PRADENGAR SINGLE ALBUM RAYYAN
Alhamdulillah...malam tadi hadir dalam program pradengar Single Album Kumpulan Nasyid Rayyan di Studio Live Tech Productions, hadir sama dalam program ini ialah Haji Mahzan Manan dan anggota kumpulan Rayyan. Nampaknya proses mixing dan master sudah siap sepenuhnya. Pagi ini 27 November 2010, ke Syarikat Express Audio Industry Sdn. Bhd bagi urusan perbincangan dan sebutharga cetakan CD dan cover.
Lagu yang dijangka menjadi hit ialah lagu Tasbih Cinta ciptaan Nick CDRW, manakala liriknya hasil karya ujangkeru. Album ini membawa mesej Berhibur dalam Zikirullah di samping memartabatkan keindahan bahasa dan kesusasteraan Melayu dalam lirik yang disampaikan.
Secara tidak langsung kami dapat menyampaikan dakwah dan memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu melalui media lagu nasyid. Sesungguhnya kami berhasrat untuk mengangkat dan memartabatkan keindahan dan kehalusan seni Islam itu sendiri. Hal ini dapat dilihat dalam bait puisi atau lirik lagu disampaikan dengan memuji keagungan dan keindahan ciptaan Yang Maha Esa.
TUNGGU....akhir Disember 2010. Tentunya Gempak.
sebarang pertanyaan boleh hubungi kami: ujangwrj@yahoo.com

Khamis, 25 November 2010

EXAM LAGI....

Hari ini kena duduki Ujian Akhir Perintah-Perintah Am dan Tatatertib. Alhamdulillah boleh jawap semua nampaknya. Mungkin boleh dapat A++++...

Selasa, 23 November 2010

CERAMAH INOVASI

Hari ini hadir sesi Ceramah Inovasi yang disampaikan oleh Prof. Dato' Dr. Halimah Badioze Zaman daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau ialah Professor in Multimedia Technology Faculty of Information Science and Technology, UKM. Ceramah yang disampaikan amat menarik sekali, dalam masa 2 jam banyak contoh dan topik yang menarik telah dikupas dengan bantuan alat pandang dengar.
Secara ringkasnya inovasi ialah idea baru yang terhasil daripada kombinasi antara beberapa elemen/unsur yang lama. Dianya akan terhasil, yang mana keseronokan boleh mencetuskan kreativiti, kreativiti pula akan menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan atau dikongsi bersama faedahnya.

Isnin, 22 November 2010

PECAH KEPALA DI BUATNYA....
Minggu ini terlalu penat, terpaksa mengikuti kursus, menduduki exam dan hadir dalam sesi ceramah. Kepala menjadi mamai, pening dan sakit...ada kalanya terpaksa telan ubat panadol untuk kurangkan pening dan sakit kepala. Satu perkara lagi...yang harus diuruskan ialah...monitor kemajuan proses penerbitan Mini Album kumpulan Rayyan. Alhamdulillah...urusan pendaftaran My Rayyan telah beres atas bantuan Sdr. Rizan (terima kasih daun keladi). Semoga kita diberikan kekuatan.

Isnin, 15 November 2010

RINDU ARAFAH
Hari Arafah dapat kita fahami hari perkenalan atau ta'aruf. Pada hari itu Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa dipertemukan semula setelah terpisah kian lama. Jadi pertemuan Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa menjadi simbolik Hari Arafah. Tempat pertemuan ini dikenali dengan nama Jabal Rahmah iaitu merupakan sebuah bukit. Hari itu juga menyaksikan pertemuan Nabi Ibrahim a.s. dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. Kedua-dua beranak ini ditinggalkan oleh Nabi Ibarhim a.s. di Makkah bersendiri.
Ketika ini hampir 2.5 juta jemaah haji sedang wukuf di Arafah. Mereka berdoa, berzikir, bertalbiah, membaca Al-Quran dan sebagainya. Imbas kembali....kenangan semasa mengerjakan haji 2006. Betapa syahdunya ketika wukuf di Arafah, sentiasa mengharapkan keampunan-Nya. Masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya dengan beribadah kepada Yang Maha Esa. Rindu untuk kembali wukuf di Arafah sentiasa menjadi impian, semoga Allah menjemput aku menjadi tetamu-Nya satu hari nanti.
"Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. Engkaulah yang menciptakan aku. Aku adalah hamba-Mu, Aku akan setia pada perjanjianku dengan-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejelekan yang ku perbuat. Aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku, oleh kerana itu, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau." AMIN

Ahad, 14 November 2010

SINGLE ALBUM: TASBIH CINTA
Semalam bersamaan 14 November 2010, jam 9.00 malam, saya bersama ahli Rayyan...ke studio Live Tech Productions, di Taman Cheras, Kuala Lumpur membuat rakaman vokal lagu Perjalanan untuk singel ablum kumpulan Rayyan. Alhamdulillah semua rakaman vokal telah siap sepenuhnya. Dalam minggu ini kerja-kerja production akan dilaksanakan, iaitu proses mixing dan mastering. Walaupun cuaca kurang baik (hujan) nampaknya mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha menyiapkan album ini. Rekabentuk kulit adalah hasil kerja Sdr. Anjang.
Album ini mengandungi 5 buah lagu:
  • Tasbih Cinta
  • Khazanah
  • Perjalanan
  • Kau
  • Petua Nasihat

Saya menjangkakan album ini akan berada dipasaran akhir Disember 2010. PASTIKAN YANG ORI. TUNGGGU....Berhibur dalam Zikirullah.

Khamis, 11 November 2010

KAWAN DAN BAKSO

Selepas solat Jumaat, Sdr. Ramdzan (bekas staf DBP kini bertugas di DAWAMA) belanja makan di sebuah Gerai berhampiran dengan DBP, dikenali juga dengan nama Bucu DBP. Saya makan Bakso, Gopa Mee Hoon Sup dan Ramdzan hanya minum teh tarik sahaja. Kami bercerita tentang kerjaya masing-masing. Sdr. Ramdzan (mesra dengan panggilan Dan) adalah merupakan kawan lama semasa di DBP dahulu. Kami sama-sama aktif dalam kegiatan kesenian DBP seperti drama pentas, koir, nasyid, PBSM dan sebagainya. Apabila berlakunya pengswastaan beberapa bahagian DBP yang diambil alih DAWAMA, termasuklah kawan aku ini ketika itu bertugas di Unit Pengeluaran. Kami sebenarnya jarang berjumpa walaupun pejabat kami berhampiran, saya di DBP manakala Dan di Wisma Mirama.
Ramdzan ini, suka membuat kawan menjadi ceria...tidak loket...suka belanja kawan. Terima kasih. Kawan dan Bakso erat persahabatan.

Rabu, 3 November 2010

15 HIKMAH HAJI BAGI INDIVIDU

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islam Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji, Antaranya:
  1. Menghapuskan dosa kecil.
  2. Membersihkan jiwa daripada maksiat.
  3. Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid kehidupannya.
  4. Menambahkan lagi ma'nawiyat ihsan.
  5. Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.
  6. Mengukuhkan lagi husu al-zan dengan Allah SWT.
  7. Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.
  8. Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
  9. Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.
  10. Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.
  11. Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadah.
  12. Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.
  13. Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.
  14. Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.
  15. Memahami keperluan iltizam dan sitiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.

sumber: Majalah Anis keluaran November 2010

Selasa, 2 November 2010

DI SEBALIK TADBIR...

Di belakang Tadbir, mereka yang bertanggungjawab memberikan bunyi yang terbaik, terima kasih Sdr. Jasni yang sentiasa kominted dengan tugas yang diberikan.
SEKITAR PERSEMBAHAN RAYYAN DI KOMPUNG LONEK, JEMPOL,
NS. 3 OKTOBER 2010, JAM 9.00 MALAM, DEWAN ORANG RAMAI
KAMPUNG LONEK, JEMPOL SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN
BBK NSDK 2010

Sambutan meriah sekali....Terima kasih masyarakat setempat yang telah memberikan sokongan penuh.

Lagu: Tasbih Cinta
Lirik: Haji Burn
Ciptaan: Nick CDRW

Lagu: Khazanah
Lirik: Dato' A. Samad Said
Ciptaan: Haji Mahzan Manan

Lagu: Kembara Di Tanah Gersang

Dapatkan Single Album Kumpulan ini...dipasaran akhir Disember 2010. PASTIKAN YANG ORI

PROMOSI PRPM DI HOMESTAY KAMPUNG LONEK, JEMPOL, NS
Sempena Program Kenduri Bahasa, 12 Oktober - 13 Oktober 2010.


Sedang membuat persiapan bersama rakan setugas Sdr. Hashim di Dewan Orang Ramai Kampung Lonek...ada masalah sedikit line internet tidak dapat la...

Isnin, 1 November 2010

PERGI BUAT SELAMANYA

Pagi semalam saya dikejutkan dengan berita sedih, yang mana seorang sahabat sama-sama bergiat dalam Koperasi DBP telah pergi menemui Ilahi di Tanah Suci Makkah, semasa tawaf umrah pertama dalam pusingan ketiga beliau rebah. Bertapa beruntungnya...http://almakki.com.my/?p=1494

Sabtu, 30 Oktober 2010

BERSAMA YB DATO' SHAMSUL KAHAR BIN HAJI MOHD DELI
PENGERUSI JAWATANKUASA BERTINDAK PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN
Promosi PRPM di Pustakaan Awam Daerah Jempol, NS. Sambutan amat baik daripada pelajar dan para guru yang hadir, begitu juga minat yang amat mendalam yang ditunjukkan oleh YB Dato' sendiri.
Terima kasih Dato' atas sokongan.
Dari kanan Pemangku Pengarah Perpustakaan Awam NS, YB Dato' Shamsul Kahar, Puan Ratna Inzah, Ketua Bahagian Peristilahan DBP

Rabu, 27 Oktober 2010

BSJ...Bandar Sri Jempol


Sekarang saya sedang berada di Perbadanan Perpustakaan Awam Daerah Jempol, Bandar Sri Jempol, Negeri Sembilan, sempena program Pertandingan Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Jempol yang merupakan salah satu kegiatan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan. Program ini dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Daerah Jempol. Kehadiran saya di sini adalah bagi mempromosikan Enjin Carian PRPM kepada masyarakat setempat. Sekolah yang bertanding pagi ini ialah:
  • SMK Bandar Baru Serting, Jempol
  • SMK Seri Perpatih, Palong 5, Jempol
  • SMK Batu Kikir, Jempol
  • SMK Lui Barat, Jempol
  • SMK Seri Jempol
  • SMK Pasoh 2, Jempol


Johan: SMK Batu Kikir, Jempol

Naib Johan: SMK Sri Jempol, Jempol

Ketiga: SMK Bandar Baru Serting, Jempol

Selasa, 19 Oktober 2010

PERSEMBAHAN NASYID RAYYAN DI DBP

Khamis, 14 Oktober 2010

MUSIM HAJI TIBA LAGI....

Buat bakal-bakal Jemaah Haji..hayatilah Resepi BUBUR BEREMPAH...HAJI MABRUR, yang saya petik daripada Buku Panduan Mengharap Haji Mabrur tulisan Haji Zainal bin Haji Bujang untuk kita kongsi bersama. Semoga kita peroleh Haji Mabrur.

Bahan-bahannya, ialah:-


  • 600 gm beras 'keimanan'
  • 1 biji kelapa 'ketaqwaan'
  • 3 sudu kecil ketumbar 'ketulusan'
  • 1 sudu kecil jintan putih 'kesabaran'
  • 1 sudu kecil jintan hitam 'kesyukuran'
  • Sebesar ibu jari halia 'keikhlasan'
  • 1 sudu kecil lada sulah 'keredaan'
  • 3 ulas bawang putih 'kejujuran'
  • 30 ulas bawang merah 'kerajian'
  • Garam kreativiti secukup rasa
  • 3 batang serai 'keprihatinan'
  • 5 kuntum bunga cengkeh 'keinsafan'
  • 5 ulas buah pelaga 'kesyahduan'
  • 3 sudu besar minyak masak 'kesyukuran'
  • 3 sentimeter kulit kayu manis 'kegigihan'
  • 300 gm undang 'kasih sayang' dan,
  • 300 gm daging 'istiqamah.

CARA MENYEDIAKANNYA:

  1. Bawang merah 'kerajinan', serai-serai 'keprihatinan, halia 'keikhlasan', dan bawah puith 'kejujuran' dikupas, disiat dan dibuang kulit-kulit dan mazmumahnya yang mengandungi keladak-keladak kekikiran, hasad dengki, khianat, kufur nikmat dan sebagainya itu. Kemudian bahan-bahan tersebut diracik halus-halus dan direndam dalam kolah 'tahajud' yang berisi air 'zikrullah' dan dibasuh serta dibilas sehingga bersih dan suci.
  2. Bahan-bahan rempah seperti ketumbar 'ketulusan', jintan putih 'kesabaran', jintan hitam 'kesyukuran', buah pelaga 'kesyahduan', lada sulah 'keredaan' serta bunga cengkih 'keinsafan' pula digoreng dalam kuali 'munajat' hingga garing dan seterusnya dikisar pula dengan pengisar 'taubat' hingga lumat.
  3. Bahan-bahan yang telah dihiris halus-halus beserta bahan-bahan yang telah dikisar itu ditumis dalam periuk 'jasmaniah' dengan 3 sudu besar minyak masak 'kekhusyukan' serta diserikan lagi dengan aroma keharuman serai-serai 'keprihatinan dan kulit kayu manis 'kegigihan'.
  4. Setelah itu masukkan pula 6 cawan air 'zikrullah' ke dalam adunan yang telah ditumis itu dan kacau hingga sebati. Seterusnya masukkan pula beras 'keimanan' yang telah dibasuh dan bilas dengan air 'zikrullah' itu ke dalam periuk 'jasmaniah' yang dijerang atas api 'syariat haji' yang dibelai serta di pantau kepanasannya itu.
  5. Apabila beras 'keimanan' mula mendidih masukkan pula santan dari kelapa 'ketaqwaan' yang telah diparut dan diperah itu ke dalam periuk 'jasmaniah' beserta garam 'kreativiti' secukup rasa dan kacau hingga mesra dan sepadu. Masukkan pula bahan-bahan tambahan seperti udang 'kasih sayang' dan daging 'istiqamah' ke dalam adunan yang sedang menggeledak atas semangat dan bahan api 'seruan haji' dan 'lambaian Baitullah' yang meliuk lintuk ditiup angin 'talbiah' yang sedang membara itu.
  6. Biarkan adunan yang sedang mendidih itu masak sepenuhnya hingga sebati, sehati dan sejiwa. Setelah itu masukkan bubur itu dalam bekas plastik 'musafir' dan dibawa bersama ke Kompleks Haji Kelana Jaya dan seterusnya ke KLIA, Sepang. Sambil mengharungi dan menerobosi angkasa raya yang gelap gelita menuju ke Jeddah atau Madinah itu nikmati dan makanlah 'Bubur Berempah Haji Mabrur' itu dengan penuh berselera, iltizam dan keazaman melangit yang mampu menerjah lembayung kurnia sebuah haji yang mabrur. Insya Allah.

Rabu, 6 Oktober 2010

ROTI, TEH 'O' DAN PRPM
Saya telah diminta oleh Ketua Bahagian, untuk menyediakan Video Gimik Pelancaran dan Video Penerangan Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau ringkasnya PRPM. PRPM merupakan kemudahan yang disediakan oleh DBP untuk pengguna internet membuat rujukan yang berkaitan dengan bahasa Melayu (http://prpm.dbp.gov.my).
Membina konsep, lakaran ringkas cerita, mencari bahan, pengambaran dan hinggalah proses suntingan. Setiap peringkat kerja harus dilaksanakan dengan teliti agar tiada kesilapan ejaan. Proses menyiapkan video ini mengambil masa hampir dua minggu mulai 27 September - 3 Oktober 2010, adakalanya terpaksa bermalam di pejabat. Ada cerita yang menarik...dalam menyiapkan video ini....begini....
Pada 3 Oktober 2010, Ahad...saya mula membuat kerja jam 4.00 petang bersama rakan (Sdr. Kamal, staf video PDM). Seperti biasa kami memperhalusi video yang telah siap dibina dan membuat pembetulan yang diminta oleh Ketua Bahagian Sistem Maklumat, Timbalan Ketua Pengarah, penambahbaikan audio dan video. Hari ini kami membuat kerja hingga jam 8.30 pagi, kerana video ini harus disiapkan hari ini juga. Pelancaran PRPM akan disempurnakan oleh TPM, di Ipoh, Perak, pada 5 Oktober 2010.
Nak dijadikan cerita, jam 12.00 tengah malam, sdr. kamal mengajar saya pergi makan dahulu kerana dia terlalu lapar. Saya kata tunggu dulu..kita siapkan sedikit lagi...lagi pun hujang masih lebat lagi. Lebih kurang jam 12.15 pagi kami turut untuk pergi makan, sampai di Lobi kami dapati hujang masih lebat lagi.
"Bang kita naik kereta jelah..kata Kamal".
"Kunci kereta aku tinggal dalam beg di atas".
"Temankan aku ambil kunci kereta di atas," kata aku.
Kami sama-sama naik ke atas untuk mengambil kunci kereta. Sampai di atas kami rasa hairan, sistem pintu masuk ke Bilik Video terkunci, kami penik seketika. Maca mana ni Mal...kerja kita tak siap lagi...mati aku ni...runggut aku.
Tak apa kita makan dulu, kata Kamal.
Kami turun balik untuk pergi makan, hujan masih lagi renyai-renyai. Aku cuma makan Mee Hoon goreng Mamak dengan air barli panas, Kamal Mee goreng dengan Teh tarik. Selepas makan kami kembali semula ke pejabat untuk meneruskan kerja. Kami cuba dapatkan bantuan Syarikat Anjung Bahasa dan Sdr. Jasni (Juruteknik Bahagian Pentadbiran Am) untuk membuka pintu tetapi gagal. Akhirnya kami pinjam tangga dari pihak pengawal swasta. Aku dan Kamal cuba memasuki pejabat melalui siling...semasa aku melihat di atas siling dan cuba on/off suiz sistem pintu tetapi tiada juga perubahan. Bagi aku pulak naik, Kata Kamal. Kamal naik dan cuba suluh kawasan atas siling menggunakan telefon bimbit, tiba-tiba sistem pintu 'on' secara automatik. Aku cepat-cepat membuka pintu dan sendal dengan tangga...kami ucap syukur banyak kali.
Kami keluar semula ke pintu utama, memang hairan dan pelik...kami dapati air Teh 'O' dan Roti Ban sebanyak 6 buku diletakkan di luar pintu....masa tu jam dah pukul 1.30 pagi. Aku lihat tarikh luput 5 Oktober 2010, tetapi ada roti dah berkulat. Yang menjadi persoalan kami hingga sekarang siapa yang menghantar roti dan air teh?...untuk siapa?...siapa yang oder?.
Seperkara lagi...video yang kami burn...tidak mempunyai suara. Hingga 8 keping VCD digunakan barulah video sempurna 'diburnkan'. Jam 1.00 tengah hari, 3 Oktober 2010 kami bertolak ke Ipoh, Perak menaiki bas DBP untuk persiapan majlis pelancaran PRPM, yang akan disempurnakan oleh TPM, pada 5 Oktober 2010, di Studium Indra Mulia, Ipoh, Perak. ROTI, TEH 'O' DAN PRPM.....? tiga ramuan menyiapkan video penerangan dan gimik PRPM.

TPM mencuba PRPM

Rabu, 22 September 2010

DETIK PERJALANAN INI

Segala puji bagi Allah S.W.T yang mana telah menciptakan bumi dan langit, bumi itu pula berlapis, dan langit itu bertingkat walaupun kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Begitu juga dengan manusia yang hidupnya akan melalui beberapa peringkat alam. Bermula dengan penciptaan datuk moyang kita Nabi Adam A.s hingga ke alam barzakh sebelum kita ke alam yang abadi iaitu kekal di Syurga.
Berapa alam yang manusia akan lalui sebenarnya, iaitu.
ALAM PERTAMA
  1. Alam yang kita lalui di sulbi ayah.
  2. Kemudian berpindah ke dalam Rahim ibu.
“Dan ketika Tuhan kamu menjadikan keturunan Adam dari punggungnya, dan Tuhan mengambil kesaksian dari mereka dengan berkata: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka berkata: Bahkan! Kami menjadi saksi, bahwa kamu nanti di Hari Kiamat tiada dapat mengatakan, bahwa kami ini lalai dari perkara itu” Surah Al-A’raaf ayat 172.

Jelaslah di ayat ini, yang mana Allah S.W.T telah menyatakan kisah Hari Mitsaaq (hari perjanjian) yang mana kita – zuriat Nabi Adam A.s- telah pun berjanji untuk mengakui keesaan dan ketuhanan Allah S.W.T.

Alam yang manusia akan telah pun lalui di alam yang mana masanya sejak Allah Ta’ala mencipta Adam A.s dan membekalkan zuriat di tulang punggungnya yang penuh keberkatan.
ALAM KEDUA
Alam yang kita menjalani hidup di dunia.

Ibnul jawzi telah membahagikan peringkat-peringkat umur manusia itu kepada lima kategori:
  1. Masa kanak-kanak: dari peringkat umur bayi hingga seseorang itu mencapai umur lima belas tahun.
  2. Masa muda: peringkat umur lima belas tahun (15), hingga umur tiga puluh lima tahun (35).
  3. Masa dewasa: peringkat umur 35 tahun, hingga 50 tahun.
  4. Masa tua: peringkat umur 50 tahun hingga umur 70tahun.
  5. Masa tua Bangka, peringkat umur 70 tahun hinggalah ke akhir umur yang dikurniakan Tuhan.

Mengapa, para ulama telah membahagikan peringkat umur manusia hingga sedemikan rupa? Agar kita dapat mempelajari dari pembahagian ini dan membuat persiapan atau bekalan?

Kerana di alam yang kedua (dunia) inilah -alam yang tidak kekal- di mana manusia telah diminta untuk membuat bekalan, beramal dan diuji. Amalan kita nanti akan diambil kira – dihisab. Bukankah Nabi Muhammad S.A.W telah berpesan:-

“Kedua kaki anak Adam itu akan tetap berdiri di hadapan Tuhannya pada Hari Kiamat, sehingga selesai ditanya tentang empat perkara”

  1. Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan.
  2. Tentang mas mudanya, untuk apa digunakan.
  3. Tentang hartanya, dari mana diperolehi dan untuk apa dibelanjakan.
  4. Tentang ilmunya, apa yang sudah dibuat dengannya.

ALAM KETIGA

Di alam Barzakh, ketika kita di kuburkan.

Bermulanya dari masa manusia keluar dari dunia ini dengan menempuhi mati hinggalah ia dibangkitkan dari kubur.

Siksaan kubur

Siksaan Kubur adalah HAK iaitu benar, sepertimana Rasulullah s.a.w pernah berpesan. “Kebanyakan siksa kubur disebabkan tiada memelihara diri dari kencing.”

Nabi juga berpesan supaya kita memohon pada Allah Ta’ala supaya dihindarkan dari siksaan kubur.

Alam yang Allah S.W.T telah nyatakan dalam firmannya:

“Dan di hadapan mereka terdapat Barzakh, hinggalah ke hari mereka dibangkitkan.” (Al-Mu’minun: 100)

Di alam ini, walau jasad musnah – kecuali para wali-wali Allah S.W.T- ditelan bumi dek zaman, tetapi roh manusia itu kekal di alam Barzakh. Di alam yang mana manusia lalui antara alam Dunia dan alam Akhirat di masa antara dua tiupan.

ALAM KEEMPAT

Di padang Mahsyar

Bermulanya daripada kebangkitan manusia dari kuburnya untuk menerima pengadilan Tuhan, sehinggalah kepada masuknya ahli syurga ke syurga, dan masuknya ahli neraka ke dalam neraka.

“ Dan ditiupkanlah pada sangkakala, maka mereka pun bangun dari kubur masing-masing, lalu dating kepada Tuhan mereka dengan berbondong-bondong.”(Yasin: 51)

Mizan (Amalan ditimbang)

Di alam ini, umat manusia akan melalui saat genting, mereka akan menuju ke padang Mahsyar supaya amalan mereka dihitung oleh Allah S.W.T, bahkan amalan mereka akan di timbang, sebagaimana firman Allah Taa’la:

“ Dan neraca pada hari itu tepat, maka barangsiapa yang berat timbangannya (kebaikan), niscayalah mereka itu menjadi orang-orangyang beruntung. Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, niscayalah mereka itu adalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka tiada mempercayai keterangan-keterangan Kami.” (Al-A’raf:8-9)

Di titian Shirath

Setelah itu manusia akan melalui Shirath (jembatan), yang mana ianya dipasang di atas muka jahannam, seperti diriwayatkan, Shirath itu lebih tajam dari pedang dan lebih halus dari rambut, tatkala itu manusia akan melaluinya menurut kadar amalan masing-masing.

  1. Ada yang umpama kilat ketika melintasi titian Shirath. Ada yang umpama angin. Ada yang seperti burung atau kuda. b. Begitu juga ada yang merangkak dan ada yang dijilat api, dan yang ada terjerumus ke gaung nereka.

Di telaga Nabi Muhammad S.a.w (Haudh)

Setelah terlepas dari titian Shirath, tatkala itu umat manusia yang beriman akan menghampiri Haudh (telaga) Rasulullah S.A.W. dan sekali teguk saja segala haus dan dahaga akan hilang. –Supaya Allah mengurniakan pada kita seteguk dari cawan Rasulullah S.a.w- Air dari Haudh itu lebih putih dari susu, lebih manis dari madu.

Pesanan Rasulullah S.a.w

“Siapa yang melepaskan dari seorang Muslim satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, niscaya Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keburukan) seorang Muslim, niscaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat.”

Dan marilah kita hayati kata mutiara dari Rasulullah S.a.w sebagai pedoman untuk kita tempuhi alam yang keempat ini, dan kita mengharapkan Syafaat dari Baginda S.a.w disaat itu sepertimana kita mengharapkan Syafaat serta Wasilah Beliau setiap kali kita membaca Doa azan, “Wahai Tuhanku yang memumpunyai seruan yang sempurna ini dan sembahyang yang akan didirikan ini, berikanlah dengan limpahan kurniaMu kepada Muhammad Wasilah(kedudukan yang paling tinggi dalam syurga) dan keutamaan serta limpahkanlah kepadanya Maqam yang terpuji yang Engkau telah janjikanbaginya.”

ALAM KELIMA

Di negeri Abadi (Syurga dan Neraka)

Di alam ini, adalah masa kemasukan ahli neraka dan kemasukan ahli syurga ke syuga buat selama-lamanya yang tiada hujung dan penghabisannya.

Bukankah Nabi Muhammad S.a.w diutuskan untuk membawa rahmat untuk alam-alam, namun begitu ada yang telah mengingkari risalah yang di-utuskan oleh Allah S.w.t. Maka balasan buat oleh yang telah mendustakan Nabi dan tidak beriman, maka balasan mereka seperti tertera dalam Al-Quran:“ Maka Aku memperingatkan kamu akan api yang bernyala. Tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang jahat. Yang mendustakan (kebenaran) dan yang membelakangkan.” (Al-Lail:14-16)

Telah Allah ciptakan neraka itu dengan mempunyai tujuh pintu. Sebagaiman yang tersebut di dalam Al-Quran:

“Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu daripadanya ada bahagian yang sudah ditentukan.

Nama-nama pintu dan tingkat neraka:

  1. Jahannam
  2. Saqar
  3. Lazha
  4. Huthamah
  5. Sa’iir
  6. Jahim
  7. Hawiyah

Semua lapisan neraka yang tujuh itu telah diasak dengan berbagai-bagai penyiksaan yang berat, hukuman yang dahsyat serta penghinaan yang terkeji.

Kami memohon Allah Ta’ala, agar Dia melindungi kami sekalian dari siksaan api neraka dan melindungi datuk-nenek kita, kekasih-kekasih kita dan semua kaum Muslimin.

Syurga buat mukmin

Alam syurga yang mana telah dijanjikan buat orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Bukankah Allah S.w.t telah mengkhabarkan kepada kita : “ Dan pimpinlah orang-orang yang bertaqwa (memenuhi kewajiban) ke dalam syurga berbondong-bondong, sehingga apabila mereka mendatanginya, dibukakan pintu-pintunya, dan penjaga-penjaganya berkata: Selamat sejahtera untuk kamu! Kamu telah melakukan yang baik, maka masuklah kamu ke dalamnya buat selama-lamanya.” (Az-Zumar:73)

Syurga yang mana Nabi Muhammad S.a.w penah bersabda: “ Berfirman Allah Ta’ala: Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang saleh sesuatu yang tiada pernah:

  1. dilihat oleh mata.
  2. didengar oleh telinga
  3. tiada telintas di hati sesiapa pun.

Nikmat-nikmat di syurga

Bayangkan, segala nikmat yang berlaku didunia ini, tiada bandingannya di Syurga, yang penuh dengan nikmat-nikmat yang hebat diantaranya:

  1. Mereka ahli syurga: bersandar di atas permaidani yang sebelah dalamnya diperbuat dari sutera.
  2. Ada gadis-gadis sopan –santun, belum pernah disinggung oleh manusia dan jin, dan mereka itu bagaikan permata delima dan mutiara.
  3. di syurga An-Naim: ada sofa yang bertatahkan emas dan batu permata.
  4. Mereka tiada merasa pening kepala atau mabuk.
  5. Bidadari-bidadari yang bemata bulat jelita.
  6. Tiada matahari yang berhawa panas dan bulan yang berhawa dingin.
  7. Air mata Salsabil.
  8. Mereka memakai pakaian dari sutera halus.

Nikmat yang besar selepas masuk ke syurga

Melihat Allah S.W.T

Syurga-syurga yang sediakan ini, ada lapan pintu, dan ianya berbeza dari satu yang lain dan antara satu darjat dengan darjat yang lain sama seperti antara langit dan bumi. Darjat yang paling tinggi ialah Syurga FIRDAUS yang mana di atasnya terletak Arasy Allah S.W.T dan orang-orang beriman tatkala itu dilimpahi berbilang-bilang nikmat, sehingga ditanya pada mereka: Apakah ada sesuatu yang lain yang kamu mahukan Aku tambahkan? Mereka menjawab:

  1. bukankah Engkau telah memasukkan kami syurga
  2. dan menyelamatkan kami dari api neraka?

Kemudian Hijab pun terangkat. Maka pada ketika itu, tiada sesuatu yang diberikan kepada kamu lebih utama daripada nikmat melihat kepada Wajah Tuhan Azzawajalla.

rencana ini dipetik daripada: http://perjalanansuci.com/ agar ianya dapat dimanfaatkan.

Selasa, 21 September 2010

TAMAT PUASA 6

Syukur Alhamdulillah, akhirnya hari ini aku berjaya menamatkan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Walau pun terganggu sedikit dengan kesihatan yang kurang memuaskan (mungkin ujian-Nya). Semoga IANYA mempertemukan aku lagi pada Ramadan dan Syawal yang mendatang penuh dengan kasih sayang-Nya.

Khamis, 16 September 2010

RAYYAN DUTA KESENIAN KE ACEH

Banda Aceh, Tanggal 12 – 17 Mac 2010, yang lalu Kumpulan Nasyid Rayyan telah membuat Kunjungan Muhibbah ke Banda Aceh, Indonesia atas undangan Dewan Pimpinan Wilayah Lembaga Seni Qasidah Indonesia (LASQI) provinsi Aceh. Kunjungan muhibbah ini membolehkan Kumpulan Rayyan membuat penampilan dalam Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Tingkat Provinsi Aceh 2010, yang diadakan setiap dua tahun ini bagi memilih wakil Aceh ke tingkat nasional. Dalam festival kali ini beberapa kategori telah dipertandingkan iaitu, kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan, remaja lelaki dan perempuan dan dewasa lelaki dan perempuan.

Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Tingkat Provinsi Aceh kali ini telah mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada seluruh masyarakat Aceh dengan penglibatan seramai 83 orang peserta dari 23 kabupaten/kota di Aceh penuh dengan warna warni. Festival kali ini telah dibuka secara rasminya oleh Bapak Wakil Gubernur Aceh pada tanggal 14 Mac 2010, jam 9.00 pagi, bertempat di Anjong Mon Mata, Banda Aceh, Indonesia.

Kumpulan Rayyan sebagai artis undangan dalam festival kali ini telah membuat dua penampilan, pertama dengan menyampaikan 2 buah lagu iaitu Perjalanan, ciptaan Haji Mahzan Manan dan liriknya oleh Abby dan lagu kedua Khazanah, Ciptaan Haji Mahzan Manan, manakala liriknya hasil karya SN Datuk A. Samad Said. Penampilan kedua iaitu dalam acara penutupan rasmi festival Rayyan menyampaikan 2 buah lagu iaitu Kembara di Tanah Gersang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher dan digubah semula oleh Haji Mahzan Manan. Manakala lagu kedua Ummah Khalifah, ciptaan Haji Mahzan Manan, liriknya oleh Haji Jalidar Abdul Rahim. Kedua-dua persembahan ini Rayyan telah Berjaya memukau penonton yang hadir dengan persembahan yang bertenaga dan penuh penghayatan. Penampilan Rayyan ini telah mendapat pujian daripada Bapak Wakil Gubernur Aceh iaitu Bapak Muhammad Nazar serta Ibu Dewi Meuthia ST, Ketua Umum Lembaga Seni Qasidah Indonesia (LASQI) Provinsi Aceh serta karyawan seni Aceh yang hadir.

Dalam kunjungan ini, Rayyan telah berjaya memperkenalkan genre nasyid Malaysia kepada masyarakat Aceh yang mempunyai kelainan tersendiri berbanding seni nasyid dan qasidah di Aceh. Kelainan ini jelas dari segi melodi, gubahan muzik dan cara penampilan. Kelainan genre nasyid yang dipertontonkan oleh Rayyan ini, dapat kita membuktikan kepada peminat seni muzik tanah airi bahawa genre nasyid Malaysia dapat diterima oleh masyarakat luar khususnya di peringkat antarabangsa. Selain itu, hal ini juga dapat menjadikan nasyid sebagai antara medium dakwah yang berkesan dan medium untuk mengambangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu yang boleh diterima oleh masyarakat luar. Kunjungan Rayyan ke Aceh telah merapatkan hubungan antara Malaysia dengan Provinsi Aceh menerusi program kesenian berunsur Islam.

Dalam ruang masa yang ada kami dapat menjejaki, memahami, mempelajari serta menghayati seni qasidah serta kebudayaan masyarakat Aceh yang serumpun dengan bangsa Melayu di Malaysia. Dengan ini kami dapat mengenali jati diri budaya masing-masing, di samping memahami dan menghormati budaya-budaya lain. Dan mampu berinteraksi secara sinergi antara satu dengan yang lain dalam usaha mengukuhkan hubungan persaudaraan dua negara khususnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan menerusi bahasa dan kesusasteraan Melayu. Di samping itu, kami dapat melihat kesan-kesan gelombang tsunami yang melanda Banda Aceh pada 26 Disember 2004. Kesan ini masih kekal hingga ke hari ini.

Selasa, 14 September 2010

KELEBIHAN PUASA SUNAT 6 HARI BULAN SYAWAL
BERTEMU KEMBALI...Assalamualaikum dan salam syawal kepada semua pembaca blog saya. Kali ini kita akan berkongsi maklumat tentang kelebihan dan hikmat berpuasa sunat 6 hari di dalam bulan syawal. Islam menganjurkan umatnya beramal sepanjang masa selagi ada hayat.
Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.
Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.
Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.
Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”.
Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.
Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal.
Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”. Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan.
Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Rabu, 8 September 2010

Aku pinjam kata-kata ni...
Sujudku untuk yang Satu,
Tasbihku pujian buatMu,
Ku singkap tabir seribu bulan,
Ku pohon ampun demi penyesalan,
Ya Allah, Kaulah Kesempurnaan.
Insya Allah kita bertemu kembali selepas Raya...hati-hati di jalan raya.
SALAM AIDILFITRI
Terima kasih atas kiriman kad dan Ingatan Yg. Bhg Dato' dan Datin kepada saya.

SALAM AIDILFITRI
Terima kasih atas kiriman kad dan Ingatan Yg. Bhg Datuk kepada saya.