UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

UMRAH & ZIARAH MUSIM 1441H (2019/2020)

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Penyucian Jiwa di Tanah Suci

Daftar Segera.....

Daftar Segera.....

Holidays...Pelancongan Tersohor

Holidays...Pelancongan Tersohor

BADAL HAJI & UMRAH 2019

BADAL HAJI & UMRAH 2019

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul

AndalusiaKU...Peneraju Umrah Terunggul




وَقَالَتْ أُولاَهُمْ لأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ فَذُوقُواْ الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ كُنتُمْ تَكْسِبُونَ
Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan".
(surat Al-A'Raaf ayat 39)
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat pengampun (kepada orang-orang yang bertaubat). - Al-Mulk.2
Tegak Rumah Kerana Sendi,
Runtuh Sendi Rumah Binasa,
Sendi Bangsa Adalah Budi,
Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa.
Adat Bersaudara,
Saudara Dipertahankan,
Adat Berkampung, Kampung dipertahankan,
Adat Bernegeri, Negeri Dipertahankan,
Adat Berbangsa, Bangsa Dipertahankan.

"Jangan sedih jika diri tidak dihargai, tetapi tangiskanlah apabila diri tidak berharga lagi"
"Lambaian Suci...Kembara Ilahi Siri-8, ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, Transit Muscat, Oman 12 - 24 Jan 2020. Ya Allah permudahkan segala urusan kami".

Sepanjang perjalanan hidup manusia beragama Islam tidak akan lengkap rukunnya jika ia tidak menunaikan ibadah haji dan umrah.

Firman Allah. Ertinya:
"Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana
Allah
" (Surah al-Baqarah 2:196)

Firman Allah. Ertinya:
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan ketaqwaan yang benar dan janganlah kamu mati kecuali sudah lengkap Islam (melakukan dengan sepenuhnya rukun-rukun Islam" . (Surat Ali 'Imran 3:102)

Selasa, 5 Jun 2012

MASJID AL- RAYAH, TINGGAL KENANGAN

Masjid al-Rayah, terletak bertentangan dengan bangunan Ali al-Jafali di kawasan al-Judairah, kira-kira satu kilometer dari Masjidil Haram.  Iaitu ke arah Makam Ma'la dan Masjid Jin.  Masjid ini juga dikenali dengan Masjid Abu Hurairah kerana di masjid ini pada masa dahulu Abu Hurairah memelihara dan amat menyayangi kuchingnya.  Bagi jemaah umrah atau haji Malaysia masjid ini kenali dengan nama masjid Kuching. 
Sekarang hanya tinggal kenangan, Masjid Kuching telah dirobohkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memberi laluan pembangunan pembesaran Masjidil Haram.   Musim haji 2006 yang lalu, aku kerap solat dan mendengar tazkirah dalam bahasa Indonesia tentang fardu haji selepas waktu marghrib di sini.  Hotel aku menginap berhampiran dengan masjid maka kerap aku datang ke masjid ini untuk mendengar tazkirah.

Kalau hampir masuknya waktu wukuf jemaah Masjidil Haram dan jemaah Masjid Kuching selalu akan bersambung terutamanya waktu solat Marghrib dan Isyak.   Kiri kanan jalan, ruang dipenuhi dengan lautan jemaah menyembah yang Satu, itulah kelebihan tanah haram.   Masuk sahaja waktu solat semua premis akan ditutup, urusan yang lain juga dihentikan buat sementara waktu memberi laluan untuk kita mengesakan Maha Pencipta.  Maka amat rugilah jika kita ke sini, tidak mengejar ruang dan peluang yang terbatas.
Masjid Kuching,
sumber imej: http:alikhlassurau,blogspot.com
Dulu burung Merpati terlalu banyak di sini....aku selalu memberinya makanan biji gandum yang boleh dibeli dengan harga 1 RS sebungkus yang banyak dijual oleh peniaga jalanan orang kulit hitam di tepi-tepi jalan sekitar Masjid Kuching.    Sekarang merpati ini berpindah ke mana....? tak taulah.   Seperti mana yang diceritakan, burung marpati ini asalnya daripada burung Ababil yang didatangkan oleh Allah untuk menyerang tentera Albaharah yang ingin memusnahkan Kaabah.
Kita sama sekali dilarang membunuh atau menangkap marpati di sini.

MEKAH, 30 APRIL 2012, ISNIN (HARI KE-6) - GUA HIRA

10.00 malam sebahagian jemaah dibawa mendaki Jabal Nur biasa juga disebut Gua Hira.   Terletak di sebelah Timur Laut Masjidil Haram dengan ketinggian sekitar 621 m dari permukaan laut.   Untuk mendakinya sampai ke puncak mengambil masa lebih kurang satu jam.  Di siniilah Rasulullah s.a.w. menyendiri dan beribadah sebelum diangkat menjadi nabi.
Gua Hira inilah tempat dimana Malaikat Jibril datang menemui nabi dengan membawa wahyu pertama. iaitu:
"Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan" (Q, s. al-'Alq/93:1).  Kemudian Nabi melihat Jibril dekat dengan Hira, dan suatu saat Gunung tersebut berseru; "tinggallah di Hira ini...."sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis.
pintu masuk ke Gua Hira

Isnin, 4 Jun 2012

MEKAH, 30 APRIL 2012, ISNIN (HARI KE-6) - HUDAIBIYAH

Sebelah pagi jemaah bebas untuk mengerjakan ibadah.  3.00 petang jemaah di bawa ke Hudaibiyah.  Hudaibiyah terletak di luar tanah suci. iaitu jalan antara Mekah dan Jeddah Lama.  Jarak Masjidil Haram dengan batas tanah suci tersebut adalah 22 km.  Sekarang telah didirikan masjid yang baru, disebelahnya masih terdapat kesan bangunan masjid lama yang dibangun dengan batu hitam dan plester semen.
Masjid baru Hudaibiyah
Kita masih dapat lihat dengan jelas kesan tinggalan tapak masjid lama, dengan binaan batu hitam plaster semen.  Hudaibiyah adalah sebuah tempat dimana disinilah berlakunya perjanjian gencatan senjata antara pihak Rasulullah s.a.w. bersama kaum Muslimin di Madinah dengan orang-orang Kafir Quraisy di Mekah, perjanjian ini juga dikenali dengan "PERJANJIAN HUDAIBIYAH".   Kita juga boleh berniat umrah di sini.  Tetapi jarang dilakukan kerana memandangkan jarangnya agak jauh berbanding Tanaim dan Ja'ranah.
Dalam perjalanan ke Hudaibiyah jemaah di bawa singgah di ladang perternakan unta.

Di sini jemaah boleh membeli susu unta segar dengan harga 5 RS sebotol.   Kalau tidak beli rugi...rasanya sedap sekali.
Dalam perjalanan pulang, jemaah dibawa singgah melawat Muzium Dua Tanah Haram (Mekah dan Madinah).   Kita dapat lihat sejarah pembangunan kedua-dua Tanah Haram ini, hinggalah sekarang.

Mekah dalam tahun 60-an
Seterusnya jemaah dibawa ke Masjdil Haram untuk menyelesaikan umrah, bagi jemaah yang melaksanakan umrah.

MEKAH, 29 APRIL 2012, AHAD (HARI KE-5) - BEBAS

Hari ini jemaah bebas melaksanakan ibadah di Masjidilharam atau umrah.


Ahad, 3 Jun 2012

MEKAH, 28 APRIL 2012, SABTU (HARI KE-4) - SIDEK SAGARAGA

Jika anda ke Safwa Tower...ditingkat bawah anda akan berjumpa dengan sebuah kedai menjual pelbagai minyak wangi dan wangi-wangi arab.  Peniaganya lelaki berumur dalam lingkungan 40an, berbangsa Myanmar fasih berbahasa Melayu.  Dia amat memintai negara kita Malaysia.  Sehinggakan nama-nama produk minyak wanginya ada dinamakan minyak wangi Dato' Khalid (Dato' K),  Dato' Nik Aziz, Dato' Sharifah Aini dan sebagainya.   Ianya amat memintai filem-filem Tan Sri P.Ramlee, sehinggakan tahu cerita tiga Abdul.    Kedainya dinamakan 'SIDEK SAGARAGA'.   Inilah penagang kehebatan Tan Sri P. Ramlee.

MEKAH, 28 APRIL 2012, SABTU (HARI KE-4) - AIR BUAH

Safawa Tower blok no. 3 depan, dari kiri menara jam
Selepas solat Asar di Masjidilharam, jalan-jalan dan minum petang bersama Zul Bakar di Safwa Tower terletak berhampiran dengan Masjidilharam apabila kita keluar melalui gate King Abdul Aziz.  Kebetulan kami bertemu dengan salah seorang Tour Leader Andalusia Haji Wan (berasal dari Pahang) di restoran Disaji (milik Felda).  Kebetulan juga kami sama-sama memakai Vest Andalusia berwarna biru.  Tour Leader sememangnya diwajibkan memakaian vest ini ketika berada di Mekah mahupun di Madinah sebagai pengenalan kepada jemaah yang tersasar secara tidak langsung mempertingkatkan imej korporat syarikat.  Kami bersalaman, Haji Wan memberitahu kami, yang ianya menghadapi sedikit masalah kerana ada seorang jemaah dibawah seliaannya mengalami masalah mental (tidak siuman) apabila tiba di Mekah, jemaah ini berasal dari selatan tanah air, katanya.
Aku terbayangkan mungkinkah jemaah yang aku jumpa didalam Masjdilharam selepas solat zohor tadi, jemaah ini rupa parasnya seperti orang Melayu berdiri di tengah-tengah tangga pintu keluar melalui Gate  King Abdul Aziz, memakai songkok dililit dengan kain reben berwarna oren dan kalau tidak silap aku memakai baju batik dan berseluar hitam dan sentiasa tersenyum sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah jemaah yang sedang berpusu-pusu untuk keluar Masjdilharam selepas solat Zohor, dan ianya amat gembira apabila ada antara jemaah yang mengambil gambarnya.   Malangnya aku tidak teringat langsung untuk mengambilnya.  Mungkin ada hikmatnya?
Aku bersyukur kepada Yang Maha Esa, Alhamdulliah jemaah aku semuanya dalam keadaan baik dan dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.  Syukur Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala-galanya yang tersimpan dalam hati ini.
Selepas itu aku dan Zul Bakar beredar ke arah restoran yang menjual air buah berhampiran.  Haji Wan kami tinggalkan setelah bersalaman.  Sebelum berpisah, Haji Wan mengirim salam kepada aku untuk sahabatnya iaitu, Encik Sufian yang kebetulan bertugas satu jabatan dengan aku.   Aku minum air buah campur, nak tahu harganya berapa....haaa...15 RS dan meegi segera, manakala Zul Bakar minum air buah biasa, 10 RS.   Kami santai di sini hingga jam 6.00 petang, sambil bercerita keseronokan beribadah di sini.   Kemudian kami beredar ke Masjdilharam untuk solat Marghib, Isyak dan tawaf sunat.
Sebagai berkongsi pengalaman, perbanyakkanlah solat taubat dan memohom ampun dari Yang Maha Esa dan sesama manusia sebelum kita sampai di sini.  Semoga Allah menyambut kedatangan kita.  InsyAllah.

Jumaat, 1 Jun 2012

MEKAH, 28 APRIL 2012, SABTU (HARI KE-4) - TANAIM

dalam ihram
solat di dataran Kaabah selepas selesai umrah
8.00 pagi jemaah berkumpul di lobi hotel untuk ke Tanaim melaksanakan miqat umrah.   Kami ke Tanaim dengan lima buah bas yang disewa khas oleh pihak Andalusia.    Taniam merupakan tempat miqat yang paling hampir iaitu lebih kurang 7.5 km sebelah utara Masjidil Haram, di pinggir jalan antara Mekah dan Madinah.   Masjid Tanaim juga disebut Masjid Sayyidah 'Aisyah iaitu isteri Rasulullah dan ibu kaum muslimin (ummu al-mu'minin).  Kita boleh juga ke Tanaim dengan menggunakan perkhidmatan teksi dengan tambang 10 RS seorang pergi balik atau pun menaiki van dengan bayaran yang sama.  Masjid Tanaim dibina di mana tempat berihramnya Sayyidah 'Aisyah ketika hendak umrah pada rangkaian pelaksanaan Haji Perpisahan (hijjat al-wada') pada tahun 9H.
perjalanan menuju ke Tanaim
ruang solat Masjid Aisyah (Tanaim), tempat miqat
Seperti mana yang diriyawatkan, bahawa ketika Sayyidah 'Aisyah sedang dalam haid, hanya mengerjakan hal-hal manasik sahaja, tetapi belum lagi melaksanakan tawaf di Kaabah.  Apabila telah suci, Sayyidah 'Aisyah memaklumkan kepada Rasullulah hendak mengerjakan tawaf.  Mendengarkan hal itu, Rasulullah lalu meminta Abdulrahman ibn Abu Bakar untuk menghantarnya ke Tanaim.  Setelah itu, Sayyidah 'Aisyah mengerjakan umrah, yakni setelah mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah.

Selepas umrah...perut lapar pulak, keluar jap jalan-jalan berhampiran pasaraya Bin Dawood, dekat sini banyak menjual makanan arab.   Apa lagi aku beli nasi mandy dan ayam goreng, harga biasa je 10 RS boleh makan dua orang.  Lepas solat zohor aku balik hotel...makan tengah hari dan rehat jap.

Khamis, 31 Mei 2012

MEKAH, 27 APRIL 2012, JUMAAT (HARI KE 4) - YASSIN DAN TAHLIL

Pagi ini lebih kurang jam 7.00 pagi diadakan bacaan Yassin dan Tahlil arwah.  Majlis ini diadakan di dewan makan hotel.  Ramai jemaah yang hadir untuk meraikan majlis, bacaan Yassin dan Tahlil dipimpin oleh Ust. Yusof iaitu ketua mutawwif di Mekah.  Majlis selesai jam 9.30 pagi.  Sebelah petangnya tiada atur cara khusus untuk jemaah, cuma jemaah bebas membeli belah dan beribadah di Masjidilharam.
Ust. Yusof memberikan tazkirah sebelum majlis
 bacaan Yassin dan Tahlil diadakan
Hari ini jemaah bebas untuk membeli belah sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air nanti dan memperbanyakkan ibadah di Masjdilharam.  Jemaah diingatkan supaya tidak membawa duit yang banyak ketika pergi membeli belah sekadar secukupnya sahaja.  Jemaah harus berhati-hati, di sini pun ramai penyaluk saku selalu mencari mangsanya yang lalai.   Begitu juga ke Masjdilharam bawalah sekadar 10 RS atau 5 RS sahaja cukup untuk membeli air buah atau air krim dalam perjalanan pulang dari solat, selebihnya tinggalkan di bilik dalam beg besar, dikunci.  Insya-Allah selamat.  Di Mekah jemaah perempuan digalakkan untuk solat jumaat di Masjdilharam.

MEKAH, 26 APRIL 2012, KHAMIS (HARI KE 3) - UMRAH JA'RANAH

Peniaga di Masjid Ja'ranah
Masjid Ja'ranah
Selepas ziarah luar Mekah, jemaah terus dibawa ke Masjid Ja'ranah untuk miqat umrah kali ke-2.  Ja'ranah diambil dari nama seorang wanita yang hidup di daerah tersebut pada zaman dahulu.  Sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Fakihi dari Ibnu Abbas, bahawa surah al-Nahl ayat 92 ("Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali,...") turun pada seorang wanita Quraisy dari Bani Tim yang dijuluki dengan panggilan Ja'ranah.  Wanita ini disihirkan sebagai seorang wanita yang terkenal dungu.

Sekarang Ja'ranah merupakan sebuah perkampungan di Wadi Saraf, jaraknya lebih kurang 24km dari Masjidil Haram, sebelah Timur Laut.  Air perigi Ja'ranah terkenal dengan keistimewaan rasanya, tetapi sekarang perigi ini telah ditutup oleh kerajaan Arab Saudi kerana banyaknya berlaku khrufah dikalangan jemaah umrah atau haji.

Sebahagian jemaah SV24 April 2012

tumit ku pecah...lagi
Selepas itu jemaah dibawa semula ke Masjdilharam untuk menyempurnakan tawaf, se'ai dan bergunting, maka selesai umrah buat kali kedua.   Tetapi aku dan sahabat yang lain menyempurnakan tawaf, se'ai dan bergunting selepas solat Asar, kerana ketika ini cuaca agak sejuk sedikit dibandingkan waktu tengah hari tadi.  Semasa se'ai tumit kaki aku dah mula pecah-pecah teramatlah sakitnya, pedih, urat betis dah mula menegang agak sukar untuk berjalan, tetapi aku gagah juga.

Selepas selesai melaksanakan umrah bawa Zul Bakar, Zul Khalil, Rafiq dan keluarga jalan sekitar sebelah masjid kuching.  Tiada apa yang tinggal di sini, masjid kuching pun hanya tinggal nama sahaja telah dirobohkan (kenapa kerajaan Arab Saudi tidak memelihara tinggalan sejarah ini).   Semasa aku menuaikan haji pada tahun 2006, aku tinggal di kawasan ini nama hotelnya Al-Khwah.   Semua bangunan di sekitar kawasan ini telah dirobohkan untuk meluaskan dataran Masjdilharam bagi menampung bilangan jemaah semakin hari semakin bertambah.


Terma kasih Rafiq kerana belanja kami minum petang Roti Arab, kari Kambing, Sayur Salad dan Air Tin.  Memang sedap 'gila', apa tidaknya perut tengah keroncong pulak tu.

Jam 6 petang kembali semula ke Masjidilharam untuk solat Margrib, tawaf sunat dan solat Isyak.  9.00 malam baru balik hotel untuk makan malam dan rehat setika. 
10.00 malam jumpa Mutawwif Ust. Syafiq untuk serahkan senarai nama peserta tahlil, duit sumbangan jemaah untuk majlis tahlil, duit pembelian Al-Quran (wakaf) jemaah, duit pembelian 2 ekor kambing untuk jemuan sumbangan salah seorang jemaah. 

Seperti biasa 3.30 pagi ke Masjdilharam beribadah, tahajud, taubat, hajat hingga solat subuh.  5.30 pagi balik hotel untuk sarapan pagi
sarapan pagi mee sup

Rabu, 30 Mei 2012

MEKAH, 26 APRIL 2012 - ZAIRAH LUAR MEKAH

Pagi ini semua jemaah (190 orang) berkonvoi dengan lima 5 buah bas untuk melaksanakan ziarah luar Mekah.  Jam 7.30 pagi (waktu saudi) jemaah berkumpul di lobi hotel mennunggu kedatangan bas yang akan membawa mereka.   Jam 8.00 pagi kami bergerak (aku menaiki bas no. 5), bersama 38 jemaah dan 15 orang jemaah aku sndiri.  Tempat pertama di ziarahi ialah:
BUKIT THUR
Terletak lebih kurang 27 km dari Masjidilharam.  Di puncak bukit ini terdapat satu gua, di sinilah tempat persembunyian Baginda Rasulullah s.a.w. bersama Saidina Abu Bakar al-Shiddiq dikejar oleh kamu kafir Quraisy dalam perjalanan Hijrah dari Mekah ke Madinah.   Betapa peritnya perjuangan Rasulullah bersama sahabatnya.  Asmah binti Abu Bakar bertanggungjawab menghantar makanan sepanjang dua insan yang mulia ini berselindung di gua ini.   Kita boleh bayangkan betapa jauh dan tingginya gua tersebut.   Sudah pasti Asmah seorang wanita sangat susah untuk mendaki dan menyusuri jalan untuk sampai ke puncak.  Inilah ertinya sebuah perjuangan.  Sehingga Allah merakamkan peristiwa ini dalam al-Quran surah At-Taubah:40.
Bukit Thur
Di kaki bukit ini telah bina rumah kedai dua tingkat menjual pelbagai jenis cenderamata dan pakaian.   Jika anda ke sini, kedatangan anda akan disambut oleh beberapa orang artis yang comel (unta yang dihiasi dengan pelbagai hiasan).   Sekali naik akan dikenakan bayaran 10 RS.
JABAL RAHMAH
Jabal Rahmah adalah sebuah bukit di mana berlakunya pertemuan Nabi Allah Adam dengan Hawa setelah terpisah sekian lama selepas diturunkan oleh Allah ke bumi dari syurga.   Kita boleh mendaki, tetapi tiada yang istimewa di atas bukit hanya tiang batu sebagai penanda semata-mata.  Jemaah tidak digalakkan melakukan perkara mempunyai unsur khurafat, seperti mana dilakukan oleh mereka yang jahil.
PADANG ARAFAH
Tempat ini asalnya tandus hanya sebuah gurun sahara.  Tetapi sekarang telah menghijau, banyak pokok-pokok yang ditanam oleh kerajaan Arab Saudi.   Inilah tempatnya para jemaah haji berwukuf pada setiap 9 hb Zulhijjah pada musim haji.

MUZDALIFAH
Mudzalifah terletak antara Arafah dan Mina.  Di sini jemaah haji memunggut anak-anak batu untuk di bawah ke Mina bagi melontar Jamrah.
MINA 
Jemaah juga berpelung melihat kawasan Mina dan tempat melontar (Jamrah) dari dalam bas.  Tempat ini hanya digunakan setahun sekali iaitu pada musim haji lebih tepat lagi 10 - 13 hb Zulhijjah, bagi melaksanakan lontaran jamrah sebagai simbolik kebencian kepada syaitan.
LRT, Mina

LRT, MINA
LRT di Saudi hanya beroperasi setahun sekali iaitu dalam musim haji sahaja.  Operasinya dijalankan oleh rakyat Malaysia iaitu oleh KTMB.

MEKAH, 26 APRIL 2012, KHAMIS - TENANG

Hari ini, masuk hari ketiga kami berada di Kota Suci Mekah...tenang, damai, syahdu rasanya.   Tidak perlu fikirkan untuk pergi ke pejabat, trafik jem, masalah di pejabat dan macam-macam lagi. Fikiran selalunya berserabut dengan kerana duniawi.   Di sini setiap saat, detik digunakan untuk mendapatkan kereda'anNya.  Masa yang terluang digunakan sepenuhnya untuk mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.   Hati sentiasa gelora ingin menatap Kaabah yang mulia...kaki ini ditari di dataran Mu tawaf tawaduk penuh keinsafan atas kesilapan ini.  Ku salut tubuh ni dengan ihram Mu, semoga Kau terima segala permintaan ku.
Ya Allah ampunkan segala dosa-doa ku, Dosa kedua ibu bapa ku, Kau kasih dan sayangi mereka seperti mana mereka mengasihi dan menyayangi ku semasa kecil ku anugerahkan mereka kekuatan iman kesihatan yang baik sepanjang hayat.  Ampunkan dosa kakak, adik-adik ku, anak saudara ku, adik ipar ku, abang ipar ku, kaum keluarga dan sahabat handai yang tercinta.  Kau anugerah kami pancaran iman yang terang benderang bak bulan purnama. Amin.

sesungguhnya ketenangan jua yang dicari...



MEKAH, 25 APRIL 2012, RABU - MAKAN TENGAH HARI

WAKTU SARAPAN/MAKAN DI MEKAH
  • Sarapan pagi selepas solat Subuh
  • Makan tengah hari selepas solat Zohor
  • Minum petang selepas solat Asar
  • Makan malam selepas solat Isyak
  • Minuman panas/sejuk/roti 24 jam
Masakan yang disediakan amatlah bersesuaikan dengan selesa kita, iaitu masakan Melayu.  Kebanyakan bahan mentahnya dibawa dari Malaysia.   Untuk keselesaan jemaah, pihak syarikat juga menyediakan kemudahan 24 jam minuman panas, sejuk dan roti.  Jemaah boleh memanfaatkan kemudahan ini sepanjang berada di Kota Suci Mekah.  Selamat Menjamu Selesa.

Selasa, 29 Mei 2012

MEKAH, 25 APRIL 2012, RABU

Tiada atur cara khusus hari ini, jemaah digalakan memperbanyakan ibadah di Masjidharam atau melaksanakan umrah secara persendirian.  Aku mengambil masa yang panjang untuk berehat di bilik, agak terasa penat...penerbangan lebih kurang lapan jam antara KL - Jeddah, dan perjalanan dengan bas lebih kurang tiga jam antara Jeddah - Mekah.  Aku perlu mengumpulkan semula tenaga dan kekuatan fizikal, tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Tour Leader  kali ini sememangnya mencabar iaitu mengawasi jemaah seramai 190 orang, ini termasuklah memantau soal kebajikan, aktiviti jemaah dan sebagainya.
Buat masa sekarang ini, terlalu banyak pembangunan di sekitar Masjdilharam bagi kemudahan jemaah beribadah terutamanya perluasan dataran Masjdilharam.   Jemaah dinasihatkan memakai 'mask' bagi menutup hidung dan mulut daripada habuk yang boleh menyebabkan batuk dan demam.  Kerja-kerja pembinaan ini dijalankan 24 jam tanpa henti, apa yang difahamkan ianya perlu disiapkan sebelum tibanya bulan Ramadan akan datang bagi menampung peningkatan bilangan jemaah.


kerja-kerja naik taraf lantai dataran Masjdilharam
berhampiran Safwa Tower sedang giat dilaksanakan


Peta pembangunan Masjdilharam


Ahad, 27 Mei 2012

PENCURIKAH DIA

MASJIDILHARAM, 25 April 2012 (Rabu), 12.30 pagi
Setelah berkumpul dilobi hotel, kami bergerak ke Masjidilharam dalam satu kumpulan yang agak ramai diketuai oleh mutawwif yang dilantik oleh pihak syarikat iaitu Andalusia.   Sebelum masuk ke dalam masjid kami dinasihat supaya menyimpan selipar/sepatu di tempat yang disediakan atau di bawa bersama.  Kami memasuki masjid melalui pintu King Abdul Aziz, betul-betul berhadap dengan menara jam yang tertinggi di dunia.  Sebelum masuk mutawwif memimpin bacaan doa memasuki masjid.   Langkah demi langkah kami hayun menuju ke arah Kaabah yang mulia.   Kelopak mata antara kami mulai berlinangan dengan air mata, betul ke aku di sini...salah seorang antara kami bersuara perlahan, tapi aku mendengarnya.  Sekali lagi mutawwif memimpin bacaan doa ketika melihat kaabah yang mulia, perasaan syahdu dibayu angin malam yang agak nyaman.   Kami dibawa menuju ke lampu berwarna hijau bertentangan dengan Hajar Aswad untuk memulakan tawaf.   Sekali lagi mutawwif memimpin kami membaca niat memulakan tawaf.
"Ya Allah, aku hendak Tawaf Baitul-Haram, tujuh keliling.
 Tawaf 'Umrah, maka mudahkanlah untukku dan
 terimalah dariku, kerana Allah Taala"
Kami mulakan tawaf dalam satu kumpulan, mutawwif  dibarisan hadapan sekali sambil memimpin bacaan doa tawaf dan aku di bahagian belakang bersama Zul Bakar dan Zul Khalil, bahagian tengah adalah jemaah.  Selalunya beginilah aku lakukan agar jemaah tidak terputus dalam kumpulan.
Masuk pusingan ketiga betul-betul hadapan pintu kaabah, tiba-tiba seorang lelaki berkulit agak gelap berpakaian ihram berlari dengan agak laju dari arah  yang berlawanan dengan jemaah yang sedang tawaf.   Dataran kaabah ketika itu memang padat dengan jemaah yang sedang melaksanakan tawaf umrah mahupun tawaf sunat.  Kebiasaannya jemaah mengambil kesempatan untuk tawaf waktu sebelah malam, kerana siang hari cuaca di Mekah ketika ini agak panas sehingga mencapai 39C.
Rupa-rupanya lelaki itu dikejar oleh beberapa orang pegawai/pengawal Masjidilharam yang berpakaian biasa (jubah putih, kain serban berjalur merah).   Suasana menjadi agak kacau bilau dengan keadaan jemaah yang ramai.  Aku dapat perhatikan lelaki itu terjatuh dihadapan Hajar Aswad, aku tidak pasti sama ada dapat ditangkap atau sebaliknya.  Dalam keadaan kelam kabut inilah kumpulan kami terpisah antara satu sama lain.  Yang pasti aku, Zul Bakar dan Zul Khalil sahaja, yang lainnya aku tidak pasti di mana mereka.  Aku berdoa agar mereka dapat meneruskan tawaf masing-masing dengan sempurna, walau pun dalam keadaan pertama kali.   Aku berfikir tentu lelaki itu membuat kerja yang tidak baik atau Pencurikah dia...di hadapan kaabah pun manusia sangguh membuat kerja-kerja yang dilarang oleh agama.  Bagaimanakah di tempat lain?.   Sekiranya lelaki itu dapat ditangkap sudah tentu hukuman akan menantinya.
Kami bertiga meneruskan tawaf sehingga selesai iaitu tujuh pusingan.  Bagaimanakah Kak Ani, Azhar dan isterinya Yati?  Aku percaya mereka dapat melaksanakan tawaf dengan sempurna walaupun pertama kali menjejakan kaki di rumah Allah ini, Dia bersama kita...percayalah.
Selepas tawaf kami berdoa di hadapan Mutazam, tempat yang paling mustajap dan solat sunat tawaf berhampiran Makam Ibrahim dan berdoa.  Hati mana yang tidak sebak manakala berada di sini, tentunya tidak disedari air mata jatuh berderai.   Selepas itu kami bergerak menuju ke tempat se'ai, singgah untuk minum air zam-zam yang banyak disediakan di sini "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan ubat penawar bagi segala penyakit."
Kami mulakan se'ai dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali sehingga selesai, kemudian bergunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut.  Maka selesailah umrah pertama kami.
Kemudian kami berehat di Bukit Marwah...untuk menunggu masuknya waktu solat subuh, dengan harapan akan bertemu dengan jemaah yang lain.   Jam 3.30 pagi berkumandang azan pertama, memang menusuk kalbu, syahdu azan yang dilaungkan oleh Bilal yang bertugas pagi ini.
Sambil kami duduk, aku terlihat kelibat Azhar melintas hadapan aku.  Aku mengejarnya "Macam mana dah selesai" Azhar menjawap pendek "dah".  Jumpa Kak Ani dan yang lain, tanya aku.  "Ada, dia ke bilik air bersama Yati", jawab Azhar.  Aku rasa tenang mereka bertiga sudah selesai melaksanakan umrah pertama mereka dengan sempurna.
belakang kiri Makcik kesumayati, Kak Ani, Yati,
depan Makcik Kalsom
kiri belakang Makcik Kesumayati, Kak Ani,
 depan Makcik Kalsom dan Azhar
Jam 4.40 pagi, masuk waktu solat subuh sekali lagi azan dilaungkan.   Jemaah mula memenuhi ruang solat.  Kami mendapatkan ruang di dataran Kaabah yang sememangnya menjadi pilihan setiap jemaah, Alhamdulliah.   Kami tenang di sini.  Selesai solat subuh kami beredar dan balik ke hotel untuk sarapan pagi dan rehat.   Sarapan pagi hari ini nasi goreng, telur rebus, roti bakar dan air milo panas.  Tentunya sedap sekali.  Selesai sarapan kami naik ke bilik untuk rehat seketika setelah semalaman tidak berehat.   Sudah tentu kedatangan kita ke sini semata-mata hanya untuk yang Satu setelah kita diundang menjadi tetamuNya.  Amin.