Kini bulan Zulhijah pantas meninggalkan kita dan insya-Allah pada 7 Disember (1 Muharam) nanti akan bermula tahun baru Hijrah 1432. Jemaah haji mulai berbondong-bondong meninggalkan Tanah Suci Makkah dan Madinah, malah ada yang sudah berada di tanah air. Diucapkan selamat kembali kepada mereka, semoga dikurniakan haji mabrur yang balasannya tiada lain, kecuali syurga.
Apabila berada di tanah air, kenangan jemaah bergegas dan berpusu-pusu menyertai solat waktu di Masjidilharam dan Masjid Nabawi pasti sukar dilupakan. Demikian juga kenangan ke masjid pertama didirikan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Masjid Quba’ pasti sentiasa dalam ingatan. Berkenaan masjid ini, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”
Sewajarnyalah kebiasaan jemaah haji bergegas ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk solat waktu berjemaah dilanjutkan ketika berada di tanah air. Ini kerana ada banyak kelebihan jika seseorang dapat solat berjemaah di masjid termasuk bersegera ke sana. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya; “Jika sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya kelebihan datang awal ke masjid untuk solat fardu berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.”
Apa diharapkan keghairahan ke masjid ini dapat dikekalkan insan bergelar haji. Mereka perlu mengekalkan momentum segera ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah pada setiap waktu. Malah ada ganjaran istimewa menanti seorang ‘kaki masjid’ sehingga ada sebuah hadis Rasululullah s.a.w. menyebut mereka adalah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat nanti.
Namun takwalah sewajarnya menjadi pilihan, kerana atas dasar inilah Masjid Quba’ didirikan oleh Rasulullah s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan