KEMBARA CINTA KETIGABELAS...GUA UHUD
Jumaat, 28 Mei 2010 bersamaan 14 Jamadilakhir 1431
02.30 petang: Selesai solat Asar di Masjid Quba, meneruskan kembara menuju ke Jabal Uhud (Bukit Uhud). JABAL UHUD adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya, begitulah sabda Nabi. Jabal Uhud adalah bukit batu warna kemerahan yang menjadi saksi gugurnya para syuhada ketika Perang Uhud pada 15 Syawal 3H (625M) yang akan dikenang sepanjang zaman. Ziarah ke sini sudah menjadi satu kemestian bagi jemaah haji/umrah. Terletak lebih kurang 5 KM dari arah sebelah utara kota Madinah.
Bukit Uhud
GUA UHUD
Gua Uhud adalah bukit batu yang berwarna kemerahan. Aku berkesempatan masuk ke dalam gua ini, yang hanya boleh memuatkan empat orang sahaja dalam sesuatu masa. Bahagian dalam gua ini terdapat rekabentuk batu seperti bangku tempat duduk untuk empat orang, aku dapati baunya sentiasa wangi. Untuk naik ke gua ini kita hanya memerlukan masa lebih kurang setengah sahaja. Ust. Syariff maklumkan bangku itu adalah tempat duduk Rasulullah, Abu Bakar, Omar dan Othman manakala Ali berdiri di bahagian depan pintu gua.
Gua Uhud, tempat di mana Nabi dan para sahabat bersembunyi semasa perang Uhud
MASJID TIKAR
Masjid Tikar terletak di kaki Gua Uhud...Rasulullah akan turun bersolat di masjid ini apabila masuk waktu solat.
Tapak asal Masjid Tikar hanya tinggal batu binaan awal
Wadi (lembah) di tengah-tengah padang pasir dalam perjalanan ke Lapangan Magnet
LAPANGAN MAGNET
Kawasan ini tiada apa yang menarik cuma padang pasir dan beberapa batang pokok bonsai yang tumbuh atau ditanam di sini. Tempat ini merupakan lokasi masyarakat arab berehat berkeluarga terutamanya hari khamis dan jumaat (hari cuti hujung minggu). Cuma istimewanya di sini, ialah kereta atau bas akan berjalan sendiri apabila enjinnya dimatikan walaupun jalannya agak mendaki sedikit, mungkin disebabkan oleh kuasa magnet yang terdapat di kawasan ini. kami meluangkan masa di sini hampir setengah jam.



07.00 malam: Sampai di Hotel...terus ke Masjid Nabawi untuk solat Maghrib dah terlambat. Kali ini dapat solat di dataran luar masjid sahaja jemaah terlalu ramai. Imam hanya membaca surah lazim sahaja, tidak seperti biasa membaca surah-surah yang agak panjang.
08.00 malam: Balik hotel...bersihkan diri tukar pakaian, siap-siap ke masjid untuk solat Isyak.
09.00 malam: Balik hotel...makan malam.
10.00 malam: Kemas barang, pakaian...bersiap-siap, malam ini berangkat ke Jeddah untuk meneruskan kembara ke Bahrain.